CHERAS – Penyakit jantung iskemia kekal menjadi penyumbang kepada punca utama kematian di negara ini.
Lebih membimbangkan, penyakit yang dahulunya sinonim dengan golongan berusia, namun kini turut memberi ancaman kepada golongan muda susulan peningkatan kes ‘pembunuh senyap’ dalam kelompok usia berkenaan.
Menyedari akan hakikat itu, Columbia Asia Hospital Cheras (CAHC) tampil menawarkan pelbagai pakej kardiologi moden dalam mengesan dan merawat penyakit yang ditakuti ramai tersebut.
Pakar Kardiologi CAHC, Dr Norzian Ismail berkata, pemeriksaan dan saringan yang kerap terutama bagi golongan berisiko penting dalam mencegah serangan jantung dan mengekalkan kesihatan menyeluruh.
Beliau berkata, pemeriksaan jantung biasanya melibatkan ujian darah, pengukuran tekanan darah, elektrokardiogram (ECG) dan ekokardiogram, namun seiring dengan perkembangan teknologi terkini, usaha untuk mengesan penyakit menjadi lebih mudah dan tepat dengan adanya kardiologi moden.
Menurutnya, antara rawatan pemeriksaan jantung yang ditawarkan di CAHC ialah ujian stres, pengesanan asas, ekokardiogram dan CT angiogram atau CT scan jantung.
“Antara kardiologi moden yang kami tawarkan ialah pengimejan jantung lanjutan iaitu kemudahan seperti CT Angiogram Jantung atau CT scan jantung, disediakan untuk mendapatkan imej saluran darah jantung yang terperinci bagi diagnosis yang tepat.
“CT scan jantung kita boleh jalani untuk mengesan ada masalah tersumbat atau pun tidak pada jantung kita. Melalui kaedah ini kita boleh mengesan awal sama ada peratusan tersumbat dan ia sangat sensitif, selain keputusan melalui kaedah itu juga sangat baik yang boleh membawa kepada kesimpulan mengenai status jantung kita.
“Selain itu, kita juga menawarkan prosedur seperti angiogram koronari dan angioplasti seperti belon atau stent untuk merawat penyumbatan saluran darah,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, sebaik sahaja pengesanan awal hasil keputusan diperoleh, CAHC akan menawar pelbagai prosedur rawatan mengikut status penyakit hasil pemeriksaan yang dijalankan melalui ujian stres, CT scan jantung dan ekokardiogram.
Seterusnya kata Dr. Norzian, jika melalui pengesanan awal terdapat bukti kemungkinan ada penyakit koronari atau sumbatan pada saluran jantung, doktor akan mencadangkan prosedur koronari angiogram untuk memastikan sama ada berlaku sumbatan pada saluran darah jantung.
Menurut beliau, jika ada sumbatan dikesan pada saluran darah jantung yang signifikan ‘rawatan angioplasti’ atau stenting akan dicadangkan sebagai rawatan bagi mengelakkan daripada berlakunya serangan jantung pada masa akan datang.
Tambahnya, selain disokong kardiologi moden, pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat perubatan tersebut juga turut menerima perkhidmatan rundingan pakar, pemantauan jantung dan pengurusan jangka panjang.
Malah katanya, pasukan kardiologi CAHC turut berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya terdapat kes kecemasan melibatkan penyakit jantung yang memerlukan rawatan segera.
Sementara itu, menyentuh mengenai kepentingan saringan awal, ujarnya proses itu sangat penting terutama bagi golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, pesakit darah tinggi, kencing manis dan perokok.
“Faktor risiko penyakit jantung ini terbahagi kepada dua iaitu faktor yang boleh diubah dan faktor yang tidak boleh diubah. Kategori faktor boleh diubah seperti merokok, obesiti, kurang bersenam, tekanan darah tinggi dan kencing manis.
“Faktor yang tidak boleh diubah pula ialah umur, jantina dan sejarah sejarah sakit jantung dalam keluarga terdekat. Mungkin ada yang tidak tahu risiko serangan jantung lebih kepada lelaki,” katanya.
Ditanya mengenai simptom awal penyakit jantung yang sering diabaikan oleh masyarakat, Dr Norzian berkata, sakit dada merupakan petunjuk yang kerap dipandang mudah.
Ini kerana katanya, sakit dada sering dikaitkan dengan pelbagai penyakit lain dan atas dasar itulah masyarakat tidak menganggap perkara tersebut sebagai petanda sakit jantung.
“Jika ada sakit dada yang mengencang atau menekan. Sakit yang merebak ke bahagian rahang, leher atau lengan selalunya lengan kiri dan sakit ini boleh disertai dengan kesesakan nafas, rasa loya, berpeluh dingin atau pengan segera dapatkan rawatan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihatkan masyarakat untuk membuat pengesanan atau pemeriksaan awal terutama bagi kumpulan yang berisiko agar dapat menyelamatkan nyawa dan membolehkan rawatan dimulakan lebih awal sebelum komplikasi lebih serius.
“Sebelum ini dalam apa-apa pemeriksan kesihatan, kita sentiasa letak umur 40 tahun tepat untuk jalani ujian kesihatan tetapi dalam situasi kini lebih awal adalah jauh lebih baik kerana saya ada pesakit seawal usia 25 tahun,” katanya.
Beliau menambah, faktor gaya hidup masa kini seperti kerap mengambil makanan segera, kurang bersenam menjadi antara pencetus berlakunya peningkatan penyakit jantung dalam kalangan rakyat di Malaysia.



