redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Buat julung kalinya, Pertubuhan Amal Darul Mahabbah Gerik akan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama rakyat dan pelajar tahfiz pada 21 April depan.
Majlis itu akan diadakan di Dewan Kayangan, Bangunan Balai Felda, Kampung Datuk Keramat, di sini dengan kehadiran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai tetamu kehormat.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap Penasihat Pertubuhan, Muhammad Haikal Fahmi Tan Sri Elyas Omar berkata, seramai 70 asnaf dan pelajar tahfiz dari Madrasah Tahfiz Mafatihul Ulum yang berpangkalan di Taman Ampang Utama, Selangor serta Pertubuhan Kebajikan Anak – Anak Yatim Ulin Nuha juga akan diraikan dalam majlis berkenaan.
“Majlis itu dianjurkan dengan hasil kerjasama dengan bonda tercinta iaitu Pengerusi Koperasi Usahawan Ukhuwah Kuala Lumpur Berhad (Kupah) merangkap Penasihat Jawatankuasa Penganjur iaitu Puan Sri Datin Seri Utama Dayang Normala Awang Tambi.
“Mewakili pertubuhan, jawatankuasa amat berbesar hati kerana dapat menganjurkan majlis berkenaan yang bertujuan membuka ruang silaturahim antara masyarakat dan pelajar Tahfiz.
“Majlis berkenaan juga akan menjadi platform pembangunan pendidikan melalui sumbangan kepada sekolah tahfiz dan selain medium penghargaan serta memberi pengiktirafan kepada artis veteran dalam industri seni.
“Diharap, matlamat itu tercapai dan majlis yang dirancang nanti berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur , selain jamuan, tetamu yang diraikan akan dihiburkan dengan persembahan tarian daripada kumpulan Senada Tari dan nyanyian artis undangan.
“Dua artis yang diundang bagi menghiburkan tetamu adalah penyanyi meningkat naik, Syafeek Ikhwan dan Daniesh Suffian.
“Di samping itu, ada juga penyerahan sumbangan Aidilfitri dan cabutan bertuah bagi menambah kemeriahan majlis.
“Diharap majlis itu nanti menjadi acara yang membawa keberkatan, kegembiraan, dan kenangan yang tidak terlupakan kepada seluruh hadirin selain manfaat yang besar kepada masyarakat, sekolah tahfiz, juga artis veteran.
“Besar juga harapan supaya ia menjadi jambatan untuk mengukuhkan jalinan silaturahim serta menjadi permulaan untuk lebih banyak inisiatif positif pada masa akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

