Peruncit saran guna model PKP 2.0, SOP lebih ketat

Peruncit saran guna model PKP 2.0, SOP lebih ketat

mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) menyarankan kerajaan menggunakan model Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang membenarkan sektor ekonomi beroperasi tetapi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Ini bagi dalam membendung penularan semasa COVID-19 di negara ini yang kini melepasi 6,000 kes.

Presidennya, Tan Sri William Cheng, berkata dengan kes dan kematian harian baharu mencapai paras tertinggi, MRA amat memahami keperluan mendesak untuk membendung peningkatan kes.

Beliau berkata, pihaknya berdiri teguh bersama kerajaan dalam meratakan keluk dan usaha dalam mencapai imuniti kelompok secepat mungkin dalam memerangi pandemik COVID-19.

Katanya, MRA memahami dan bersetuju dengan kerajaan mengenai perlunya pelaksanaan langkah yang lebih ketat, namun pihaknya tidak menyokong sekatan dan kawalan pergerakan secara penuh dilaksanakan kerana ia merosakkan ekonomi negara, menjejaskan perniagaan dan merencatkan usaha pemulihan peruncitan setakat ini.

“Kami dengan tegas tidak menyokong langkah sekatan dan kawalan pergerakan secara penuh kerana ia dengan segera memusnahkan ekonomi yang sudah rapuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Cheng berkata, sebagai peruncit yang bertanggungjawab, pihaknya akan memastikan semua pekerja berada dalam keadaan sihat, mengamalkan kebersihan yang baik, sama ada di tempat kerja dan di rumah dan mematuhi SOP dengan ketat.

Beliau berkata, sebarang keputusan mesti dipertimbangkan dengan mengambil kira kepentingan perniagaan dan pemeliharaan kehidupan.

Cheng berkata, MRA juga mencadangkan langkah sekatan lebih ketat dilaksanakan membabitkan pergerakan orang ramai dengan menggalakkan mereka berada di rumah.

Beliau berkata, pihaknya juga menyarankan pelaksanaan amalan bekerja dari rumah (WFH) bagi perniagaan yang mampu melaksanakannya.

“MRA menyarankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dipercepatkan dan mengutamakan langkah mempercepatkan program vaksinisasi untuk sektor ekonomi oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam usaha mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

“Lindung diri, lindung semua, kita sama-sama dapat memainkan peranan kita untuk mengawal dan mengatasi pandemik dengan jayanya. Yang paling penting, untuk menjaga pertumbuhan ekonomi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top