Pesara tentera tak sangka terima kunjungan Najib

MASJID TANAH – “Tak sangka orang besar macam Datuk Seri (Najib Razak) datang melawat saya.”

Itu kata pesara tentera, Sohaimi Omar, 64, yang juga penghidap kencing manis ketika ditemui di kediamannya di Kampung Londang di sini hari ini.

Menurut Sohaimi yang kini berkerusi roda selepas kaki kirinya dipotong kira-kira dua bulan lalu merasa teruja menerima kedatangan bekas Perdana Menteri itu ke kediamannya.

“Tadi saya juga sempat bergurau dengan Datuk Seri, tak dapat nak bentang karpet merah untuk sambut beliau ke rumah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas program Ziarah Kasih di Kampung Londang di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu meluangkan masa lebih sejam melawat empat buah rumah penduduk yang sakit di daerah berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15.

Turut sama dalam program tersebut, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Menteri Melaka sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) bertanyakan sesuatu dengan pesara bomba, Bahri Abdul Rahman, (tengah) pada Program Ziarah Kasih di Kampung Bukit Beringin, Masjid Tanah, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2021.

Dalam masa sama, Najib turut menziarahi seorang pesara bomba, Bahri Abdul Rahman, 76, yang kini terlantar akibat sakit saraf di Kampung Bukit Beringin di sini.

Selain itu, bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) negeri Melaka, Abd Malik Siron, 62, dilihat sebak ketika menerima kunjungan Najib di kediamannya di Taman Idaman Jaya.

Abd Malik yang juga bekas Ketua UMNO Cawangan Taman Idaman Jaya itu sudah lebih 10 tahun terlantar akibat serangan strok dan baru sahaja kehilangan isteri kira-kira tiga bulan lalu. – MalaysiaGazette