Peserta Bintang RTM 2024 bebas pilih lagu, genre persembahan

Peserta Bintang RTM 2024 bebas pilih lagu, genre persembahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peserta yang bersaing di pentas Bintang RTM 2024 bermula Sabtu ini, diberi kebebasan memilih lagu atau genre untuk persembahan mereka.

Format ini bertujuan memberikan penekanan untuk menonjolkan keperibadian dan keaslian 14 peserta yang dipilih.

Peserta akan bersaing mempertaruhkan seni suara, tanpa memaksa mereka keluar dari zon keselesaan mereka.

Ketua Pengarah Penyiaran (KPP), Datuk Suhaimi Sulaiman, berkata perbezaan program ini adalah kita bakal melihat kekuatan serta kualiti peserta supaya dapat diasah lebih mendalam.

“Bintang RTM 2024 datang dengan perbezaan ini bagi memperkasa dan menggilap bakat sedia ada supaya lebih mantap dan bersinar.

“Jika peserta mengikut genre pilihan mereka tanpa paksaan, ini dapat membantu mereka memperoleh tempat dalam industri muzik dan tugas kami adalah menyediakan bantuan seperti kelas vokal, guru dan produser bagi meningkatkan kualiti suara peserta.

“Perkara ini kerana peserta memahami kelebihan yang ada pada diri mereka serta tahu bagaimana untuk memperbaiki diri sendiri.

“Dan bagi saya perkara ini atau program yang tanpa tema ini bagus,” katanya.

Sementara itu, juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, pula menyifatkan format Bintang RTM ini sekali gus dapat memastikan keupayaan nyanyian adalah terletak kepada kualiti dan kekuatan suara peserta.

“Pertandingan yang sebenar adalah di mana peserta menunjukkan kekuatan diri mereka.

“Dalam setiap acara nyanyian, penjurian diukur dari segi vokal, persembahan serta teknik bukan genre yang dibawa.

“Semua penyanyi mampu melantunkan pelbagai lagu, tapi hanya satu genre tertentu yang membentuk identiti kukuh bagi penyanyi berkenaan.

“Saya tidak ingat Bintang RTM tahun bila, sewaktu saya menjadi tenaga pengajar, peserta program sangat bagus tapi sehingga kini tidak mendapat tempat dalam dunia industri.

“Sebab itulah, bagi saya, dengan memberikan kebebasan kepada peserta kita dapat menonjolkan kekuatan bakat yang mereka ada,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan peserta Top 14 di RTM hari ini.

Antara yang bersaing adalah Nor Akmar Natasha Hasni, 25, dari Pulau Pinang; Mohd Azumi Shazani Mohd Jalaludin, 26, (Kedah); Sharifah Nurilmuhayati Syed Hussain, 26; Muhammad Hadi Hafsham Hanapi, 21, dan Muhammad Zulfeka Nasrun, 23, (Kuala Lumpur).

Selain penampilan Muhammad Harris Mukhriz Haron, 20; Muhammad Shahrezza Abu Samah, 22; Roziena Ixzy Halix, 26, dari Sarawak; Norzizi Safira Iddy, 22; Mohd Enrien Syah Mohannad, 24, Dayang Irsyadhania Iraril, 16, Mohammad Said Suhazrie, 21, Elia Eyre Guntabid, 23, dan Nur Shahirah Abdullah, 23, (Sabah).

Konsert Bintang RTM 2024 dihoskan Awal Ashaari disiarkan secara langsung di TV2 setiap Sabtu jam 9 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top