PGM anjur Kejohanan Golf Amal Tun Ahmad Sarji

PGM anjur Kejohanan Golf Amal Tun Ahmad Sarji

PETALING JAYA: Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) hari ini menganjurkan Kejohanan Golf Amal Tun Ahmad Sarji Pro-Am 2022 bagi menghargai jasa-jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid selaku pengasas merangkap pengerusi PGM yang meninggal dunia tahun lalu

Kejohanan itu yang berlangsung di Saujana Golf & Country Club disertai 74 pemain amatur dan 25 pemain profesional.

Pengurus Besar Operasi dan Penajaan, Nik Mustapha Nik Mohamed berkata, sebanyak 14 syarikat korporat bersetuju menjadi penaja Kejohanan Golf Amal Tun Ahmad Sarji Pro-Am 2022 kali ini termasuk hadiah untuk lima pasukan terbaik hari ini.

Penaja-penaja itu, katanya, ialah UMW, MNRB, Northport, MIDF, HeiTech Padu, Sime Darby Property dan Sime Darby Plantations, Dunlop Srixon, Berjaya Sompo, Karak Garden House, IOI Corporation, SBC Corporation, Prolintas dan Press Metal Aluminium Holdings dan Dunlop Srixon.

LOW Khai Jei (dua dari kanan) dan tiga amatur yang muncul juara bergambar bersama Mohd. Anwar Mohd. Nor (tengah) selepas penyampaian hadiah.

“Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada UMW Toyota kerana menaja Toyota Corolla Cross Hybrid baharu dan KIA Motors sebagai hadiah Hole-In-One,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian kepada pemenang lima pasukan terbaik.

Hadiah disampaikan oleh Presiden Saujana Golf & Country Club, Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin dan Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor. 

Pemain profesional PGM, Low Khai Jei bersama tiga amatur dari wakil media iaitu Khairul Azlan Mokhtar,  Hazreen Mubarak, Yazid Mahat muncul juara pada edisi kali ini.

“Dana yang dikumpul daripada Pro-Am telah disumbangkan atas nama Allahyarham Tun kepada dua pertubuhan yang dipilih oleh keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji.

“Anak lelaki Allahyarham, Ariff Tuah mewakili keluarga menyampaikan cek tersebut sebanyak RM20,000 setiap satu kepada Yayasan Pusat Pengajian Al-Quran dan Dana Wakaf Penyelidikan Tun Ahmad Sarji (TASREF) PICOMS,” ujarnya. – UTUSAN