SABAH FC tidak boleh memberi ruang kepada Selangor FC untuk mengawal rentak permainan jika mahu mencipta kejutan dan melangkah ke pusingan seterusnya Piala FA apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi timbal balik Pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.
Selepas terikat 2-2 pada pertemuan pertama, Pengendali Sabah, Juan Torres Garrido, mengakui peluang kedua-dua pasukan masih terbuka, namun ketenangan, disiplin dan keyakinan bakal menjadi kunci buat skuad kendaliannya untuk membawa pulang keputusan yang diperlukan dari laman lawan.
Justeru, Garrido mahu anak buahnya bermula dengan kemas dan kekal sehaluan sepanjang perlawanan, terutama dari aspek komunikasi serta keserasian yang dianggap penting untuk mengawal setiap situasi di atas padang.
“Ia sangat penting untuk kami konsisten, sehaluan dan mempunyai komunikasi yang baik antara pemain sejak minit pertama bagi mengawal situasi yang tidak dapat dijangka dalam perlawanan seperti ini,” katanya.
Pengendali itu pada masa sama menjangkakan Selangor akan tampil dengan pendekatan lebih agresif, apatah lagi mereka mempunyai reputasi sebagai pasukan pilihan selain menyedari aksi berkenaan menjadi penentu kepada perjalanan mereka dalam Piala FA.
“Mereka bermain di laman sendiri, mereka adalah pasukan pilihan dan meneruskan saingan dalam Piala FA sangat penting buat mereka.
“Kami menjangkakan mereka akan cuba mendominasi permainan dan mencari gol awal,” katanya.
Dua gol yang dijaringkan pada aksi pertama memberi sedikit kelebihan dari segi keyakinan kepada Sabah, namun dua gol yang dilepaskan turut menjadi peringatan bahawa barisan pertahanan mereka perlu lebih kemas untuk berdepan tekanan Selangor.
Bagaimanapun, Garrido sedar tuntutan fizikal dan mental anak buahnya juga perlu diurus dengan baik susulan jadual padat yang sedang dilalui pasukan.
“Kami bekerja untuk memperbaiki setiap aspek, tetapi jadual yang padat memaksa kami memberi keutamaan kepada pemulihan fizikal dan mental pemain.
“Namun, pemain kami tahu apa yang perlu diperbaiki untuk perlawanan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Garrido tidak mahu pemainnya terus dihantui kesilapan lalu, sebaliknya menggesa mereka lebih tajam dalam menghukum kesilapan yang dilakukan lawan.
Menurutnya, sebahagian gol yang dilepaskan Sabah sebelum ini hadir daripada tindakan individu luar biasa pemain penyerang lawan yang sukar dijangka, meskipun terdapat beberapa kelemahan dalam gerakan awal yang masih boleh diperbaiki.
“Kesilapan sentiasa berlaku dalam bola sepak. Tiga daripada empat gol terakhir yang kami bolos datang daripada tindakan individu luar biasa pemain penyerang lawan.
“Memang ada situasi pada awal gerakan yang boleh kami elakkan, tetapi mungkin kami dihukum terlalu berat.
“Bagaimanapun, kami perlu menggunakan kesilapan lawan dengan lebih baik,” katanya.
Menjelang pertembungan penentuan itu, Garrido mahu Sabah tampil sebagai sebuah pasukan yang lebih tersusun, berani mengambil peluang dan tidak hilang keyakinan walaupun beraksi di laman lawan.
“Kami perlu sehaluan, menguruskan serangan dengan lebih baik, kekal yakin dan mengekalkan semangat ini.
“Paling penting, kami perlu menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol lebih daripada lawan,” katanya.