Piala Malaysia: Selangor bukan pilihan di final – Cheng Hoe

KUALA LUMPUR – Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe menganggap pasukannya turun selaku ‘underdog’ berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final TM Piala Malaysia yang dijangka menjadi perlawanan paling dinantikan.

Beliau mengakui barisan serangan dan pertahanan JDT cukup berkualiti dan ia akan menjadi perlawanan yang sukar kali ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun, dengan semangat juang yang telah ditampilkan di separuh akhir berdepan Terengganu semalam, beliau menaruh harapan cukup tinggi kepada pemain untuk meneruskan momentum seperti itu di pentas final, sekali gus melakar kejutan.

“Kalau kita lihat final menentang JDT, memang Selangor akan jadi ‘underdog’ sebab JDT tahun ni sudah banyak menang piala.

“Mereka cukup konsisten dalam Liga Malaysia tetapi sebagai jurulatih, saya masih positif dan menaruh harapan setiap pemain perlu yakin untuk menentang JDT walaupun mereka ada kekuatan terutamanya di bahagian serangan dan pertahanan.

“Pemain seperti Bergson (da Silva) dan Forestieri (Fernando Forestieri) mereka memang kuat dan pertahanan mereka juga memang cukup kuat untuk menghalang kita daripada menjaringkan gol, tetapi apa sahaja boleh berlaku di final”, jelasnya.

Bercakap mengenai perlawanan menentang Terengganu semalam, beliau menyifatkan barisan pemain telah mempamerkan karakter luar biasa dalam mempertahankan gawang terutamanya selepas pertahanan import, Yazan Al-Arab dilayangkan kad merah.

Pujian turut diberi kepada penjaga gol, Khairulazhan Khalid yang menunjukkan semangat juang tinggi apabila tetap meneruskan perlawanan berbaki beberapa minit sebelum wisel penamat dibunyikan meskipun berdepan kecederaan di bahagian kepala.

Paling penting adalah mereka berjaya memastikan tiada jaringan kedua daripada tuan rumah kerana pasukan pastinya akan berada dalam tekanan yang tinggi jika perlawanan diheret ke masa tambahan.

“Setiap pemain telah menunjukkan semangat walaupun kita ketinggalan 1-0 dan kita memang tidak boleh benarkan satu gol lagi dari mereka.

“Kalau ada juga gol kedua, memang kita akan ada dalam keadaan tertekan dan saya berbangga dengan pemain yang telah berjuang sehingga ke saat akhir di mana mereka mampu mengawal situasi dengan terbaik.

“Azhan juga telah menunjukkan karakter seorang penjaga gol senior yang cukup baik sebab bukan mudah untuk bermain dengan Terengganu terutamanya di laman mereka.

“Walaupun ada perlanggaran, tetapi dia boleh teruskan juga aksi sehingga habis perlawanan dan ini menunjukkan dia adalah seorang penjaga gol yang mampu mengawal situasi dengan baik”, tambahnya.

Kali terakhir Selangor layak ke final Piala Malaysia adalah pada musim 2016 dan kali ini bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette