Tidak lakukan ‘u-turn’, GPS kekal sokong Muhyiddin sebagai PM ke-10

Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) memaklumkan pihak mereka akan kekal menyokong Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 berikutan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada pagi ini.

Menurut laporan The Borneo Post, perkara tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya selepas dihubungi oleh pengamal media.

“Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengesahkan kepada media bahawa GPS kekal memberi sokongan ketua Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” lapornya.

Bagaimanapun, selepas sejam wakil GPS dititahkan menghadap Agong pada jam 11.30 pagi tadi, kesemua Ahli Parlimen terbabit belum dapat ditemu bual oleh pihak media bagi tujuan pengesahan.

Terdahulu, beberapa Ahli Majlis Tertinggi (MT) GPS seperti Fadillah, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Datuk Aaron Aro Dagang telah diperintah untuk menghadap Agong dan perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum.

Sumber: Astro Awani (Nuzuluddin Abdul Razak), Twitter @TheBorneoPost