Piala Raja Thai: Malaysia tewas menerusi penentuan penalti

Piala Raja Thai: Malaysia tewas menerusi penentuan penalti

Antara aksi perlawanan Malaysia menentang Tajikistan pada aksi final Piala Raja Thai sebentar tadi. – Foto FB FAM

HASRAT pasukan Malaysia untuk dinobat sebagai juara Piala Raja Thai tidak kesampaian apabila tewas menerusi sepakan penalti 3-0 selepas seri tanpa jaringan dalam masa sebenar perlawanan sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, pengendali skuad kebangsaan,Kim Pan-gon melakukan perubahan di bahagian serangan apabila menurunkan trio Johor Darul Ta’zim (JDT) Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid.

Pada awal permainan, kedua-dua pasukan dilihat agak kekok untuk menampilkan permainan yang baik susulan permukaan padang yang kurang baik disebabkan cuaca hujan.

Tajikistan berpeluang untuk membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi Amirbek Juraboev namun rembatan pemain itu sedikit tersasar.

Begitupun Malaysia turut mendapat peluang untuk berada di depan pada minit ke-25, namun tandukan Syafiq Ahmad tersasar dan masing-masing kempunan untuk mencipta jaringan sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, Pan-gon melakukan perubahan dengan memasukkan Faisal Halim bagi menggantikan Mohamadou Sumareh dalam memperkuatkan lagi barisan serangan.

Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-57 menerusi Safawi namun rembatan pemain itu berjaya ditepis oleh penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov.

Gawang Malaysia hampir sahaja dibolosi pada minit ke-68 namun ketangkasan penjaga gol Malaysia, Syihan Hazmi berjaya menepis keluar rembatan Muhammadjon Rahimov.

Harimau Malaya berdepan situasi cemas pada minit ke-84 apabila kesilapan Brendan Gan berjaya disudahkan Rustam Soirov namun gol tersebut tidak dikira selepas pemain itu berada didalam kedudukan ofsaid.

Kedudukan 0-0 kekal hingga tamat masa sebenar sekali gus membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Kegagalan Dion Cools, Nazmi Faiz Mansor dan Safawi Rasid menyudahkan tiga sepakan awal Harimau Malaya membolehkan Tajikistan dinobatkan sebagai juara Piala Raja Thai dengan kemenangan 3-0.