Piala Thomas: Keputusan panggil Zii Jia di tangan BAM

Piala Thomas: Keputusan panggil Zii Jia di tangan BAM

KEPUTUSAN akhir untuk memanggil jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menjalani latihan pusat menjelang Piala Thomas 2022 dalam masa terdekat akan diputuskan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan percaya BAM akan membuat pengumuman lanjut berhubung perkara berkenaan tidak lama lagi sebagai persediaan menghadapi kejohanan berprestij itu yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Mei ini.

“Saya dengar ada (Zii Jia dipanggil sertai latihan pusat), namun maklumat akhir BAM yang akan umumkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

Zii Jia yang memilih haluan profesional kini menjalani latihan secara bersendirian selepas meninggalkan BAM sejak Januari lalu.

Dalam perkembangsan sama, Hendrawan berharap Malaysia yang diundi bersama Jepun, England dan New Zealand dapat menjuarai Kumpulan D, sekali gus mempunyai peluang lebih cerah di peringkat kalah mati.

“Kita akan fokus dan berusaha mendapatkan kedudukan terbaik di peringkat kumpulan buat,” ujarnya.

Hendrawan berkata, sesiapa sahaja yang dipilih menggalas cabaran Malaysia perlu membuktikan kemampuan mereka, selain memberi bayangan skuad negara yang bakal bersaing pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dari 10 hingga 25 September depan.

“Saya rasa jika terpilih mereka harus siap, pilihan juga banyak (pemain perseorangan).

“Setiap daripada mereka mempunyai keinginan termasuk pemain profesional, Liew Daren. Ini adalah kesempatan mereka untuk buktikan kemampuan dimiliki,” ujarnya. – Bernama