Pilih tarikh 22.2.22 lakar hari bahagia

Pilih tarikh 22.2.22 lakar hari bahagia

bhnews@bh.com.my

IPOH: Selepas menyulam cinta 15 tahun, pasangan kekasih memilih tarikh istimewa 22.02.2022, hari ini memateri ikatan janji menerusi perkahwinan.

Chan Kai Wei, 27, dan pasangan pengantin perempuannya, Chow Ji Khay, 27, yang kini menetap di Singapura kembali ke negeri kelahirannya di Ipoh menjadi antara 59 pasangan yang disatukan di majlis perkahwinan beramai-ramai di Wisma Chin Ho, di sini.

Kai Wei berkata, dia mula mengenali pasangannya itu ketika Tahun Enam sewaktu mengikuti salah satu kelas tuisyen yang diadakan di bandar raya ini.

“Kami sudah berkenalan sejak Tahun Enam dan belajar di sekolah rendah berbeza tetapi mengikuti tempat tuisyen yang sama.

“Memang mencabar ketika belajar di universiti berbeza, kami terpisah dalam dua hingga tingga tahun sebelum berhubung semula,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini, hari ini.

Menurutnya, dia kini bertugas sebagai anggota polis manakala isterinya adalah pereka dan kedua-duanya bermastautin di

kota singa sejak enam tahun lalu.

Katanya, dia dan pasangan memilih hari ini untuk melakar hari bahagia, berikutan tarikh unik dari segi susunan pengulangan sama hari, bulan dan tahun.

Kai Wei berkata, majlis makan bersama keluarga dan sahabat handai terdekat akan diadakan di salah sebuah hotel di sini.

“Mungkin apabila wabak COVID-19 reda kita akan mengadakan majlis resepsi.

“Malah, dalam suasana negara masih fasa pandemik kami lebih memilih untuk berbulan madu di dalam negara berbanding di luar negara,” katanya.

Sementara, Wong Chung Chow, 31, dan isterinya, Lew Khai Chen, 26, menjadi pasangan pertama yang menghantar borang bagi membolehkan mereka melangsungkan perkahwinan hari ini .

Khai Chen berkata, dia dan suami memilih tarikh unik ini kerana nombor dua yang disifatkan sebagai lambang cinta selain membawa banyak maksud baik dalam banyak sudut kepercayaan masyarakat Cina.

“Kami sudah mengenali selama kira-kira 11 tahun dan berkenalan di tempat kerja.

“Bagi merakam saat-saat bahagia ini kami turut menempah nombor plat pendaftaran kenderaan 2022 yang sama bagi kedua-dua kenderaan,” katanya.

Dia yang juga guru Bahasa Melayu di sekolah rendah di Slim River dekat sini berkata, dia dan pasangan yang bekerja di sebuah syarikat swasta sudah mendaftar sejak bulan September tahun lalu bagi mendapatkan tarikh istimewa itu.

“Kami rasa bertuah kerana bukan senang untuk mendapatkan tarikh unik ini dalam keadaan perlu banyak mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top