PM Anwar umum baucar buku RM100 kekal untuk pelajar sekolah menengah, IPTA

PM Anwar umum baucar buku RM100 kekal untuk pelajar sekolah menengah, IPTA

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 masih diteruskan kepada pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Baucar buku RM100 diteruskan

Memetik laporan Bernama, menurut beliau, inisiatif tersebut diteruskan pada tahun ini dan baucar berkenaan boleh digunakan sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung selama 10 hari bermula hari ini hingga 7 Jun di World Trade Centre Kuala Lumpur.

“Bantuan RM100 yang diberikan sejak beberapa tahun lepas, kini disalurkan secara terus. Jadi, apabila anda membeli buku, anda akan menikmati diskaun tersebut,” katanya ketika merasmikan PBAKL 2026 hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar memastikan baucar tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti dan bukan sekadar disimpan tanpa digunakan.

Anwar turut menegaskan bahawa penganjuran PBAKL penting dalam usaha menyemai budaya membaca, khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin terdedah kepada dunia moden dan digital.

Beliau berkata, trend masyarakat hari ini terlalu bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan jawapan terhadap isu-isu kompleks turut memberi kesan terhadap minat membaca yang semakin berkurangan.

Sehubungan itu, Anwar menyeru warga pendidik supaya terus menitikberatkan amalan mendalami ilmu dalam pelbagai bidang termasuk agama, sains serta kecerdasan buatan (AI), selain memperkukuhkan tahap literasi digital.

Menurutnya lagi, walaupun kerajaan sedang melaksanakan langkah penjimatan dalam beberapa sektor demi memastikan kestabilan kewangan negara, aspek pendidikan dan pembudayaan ilmu tetap menjadi keutamaan.

Artikel lain: Membaca ajar kita lebih sabar berfikir, lebih matang dalam menilai -PM Anwar

Anwar berkata setiap kementerian serta agensi kerajaan juga telah diarahkan supaya mengurangkan perbelanjaan tidak perlu bagi memastikan ekonomi negara terus berada dalam keadaan kukuh.

“Semua kementerian penting, semua fokus penting, tetapi dalam keadaan sekarang semua harus waras dan bijak. Kita kena tahu masalah, perbaiki kelemahan, kurangkan kos yang perlu dan pada masa sama menetapkan keutamaan,” tambahnya lagi.

Sumber: Bernama 

Scroll to Top