suzalina@bh.com.my
Kuala Lumpur : Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Turkiye, hari ini, dalam rangka lawatan rasminya bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, pihaknya mengharapkan lawatan itu membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang berlandaskan nilai persahabatan dan saling menghormati yang sudah terjalin sekian lama.
“Berlepas ke Republik Türkiye ditemani Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) serta delegasi Malaysia bagi rangka lawatan rasmi yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Lawatan ini membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang berlandaskan nilai persahabatan dan saling menghormati yang sudah terjalin sekian lama,” katanya melalui kenyataannya di Facebook, hari ini.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan Anwar dijadual memulakan lawatan rasmi ke Turkiye hingga Rabu ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, sepanjang lawatan rasmi itu, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden, Recep Tayyip Erdogan.
Ini lawatan kerja ketiga Anwar ke Turkiye sejak menjadi Perdana Menteri, dengan kali pertama pada Februari 2023, bagi meninjau serta menzahirkan komitmen Malaysia membantu rakyat Turkiye yang terkesan dengan malapetaka gempa bumi.
Lawatan seterusnya Anwar ke negara Eropah itu adalah pada Oktober 2023, memberi tumpuan kepada misi kemanusiaan bagi membantu penduduk Palestin khususnya di rantau berkonflik di Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




