PMKS jana rezeki lebih lapan juta tenaga kerja

PMKS jana rezeki lebih lapan juta tenaga kerja

PETALING JAYA: Sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menerima bantuan kerajaan, mencatatkan peningkatan jualan sebanyak RM870 juta dengan jualan eksport RM6.8 bilion direkodkan sepanjang tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 344 program keusahawanan dan pembangunan PMKS dengan peruntukan RM31.3 bilion telah disalurkan.

Hasilnya, beliau berkata, seramai 6,600 usahawan baharu berjaya diwujudkan manakala 50,000 PMKS menunjukkan peningkatan pengurusan perniagaan dan 8,000 PMKS berjaya mendigitalkan operasi mereka.

“Komitmen ini diteruskan pada tahun ini. Kerajaan Madani telah merancang melebihi 300 program pembangunan PMKS dengan peruntukan keseluruhan RM60 bilion, meliputi program pembiayaan, program pembangunan modal insan, program akses kepada pasaran, program infrastruktur, dan program penerapan teknologi dan inovasi bagi membantu lebih banyak perusahaan Malaysia berkembang dan menembusi pasaran yang lebih luas. 

“Program-program ini dilaksanakan selari dengan kerangka ABCD kementerian, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya pihaknya percaya bahawa apabila PMKS berkembang, ekonomi negara akan menjadi lebih kukuh, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan lebih ramai rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera. 

“Hasrat kami bukan sekadar melihat PMKS terus berniaga, tetapi membantu lebih banyak PMKS Malaysia naik ke tahap seterusnya iaitu daripada perusahaan kecil kepada syarikat bernilai tinggi, daripada pasaran tempatan ke pasaran antarabangsa, dan daripada menjadi pengguna teknologi kepada pencipta nilai dan inovasi,” katanya.

Sempena Hari PMKS Antarabangsa 2026, Chee Keong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga PMKS di Malaysia. 

Katanya, di sebalik setiap kedai runcit, restoran, kilang kecil, syarikat perkhidmatan dan perniagaan keluarga, terdapat jutaan rakyat yang bergantung kepada PMKS sebagai sumber rezeki dan asas kehidupan mereka. 

“Walaupun dunia hari ini berdepan pelbagai cabaran, termasuk peningkatan kos operasi susulan Krisis Bekalan Global (KBG) dan ketidaktentuan geopolitik, sektor PMKS kekal menjadi tunjang ekonomi rakyat dengan menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia serta menyediakan lebih lapan juta peluang pekerjaan, bersamaan hampir separuh tenaga kerja negara. 

“Menyedari betapa pentingnya peranan PMKS kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Madani komited memperkukuh ekosistem sokongan kepada perusahaan di negara ini,” katanya.-UTUSAN

 

 

Scroll to Top