am@hmetro.com.my
Tumpat: Penduduk Kampung Tanjung Kuala, di sini, Nor Hanis Jusoh berdepan detik menakutkan apabila rumahnya dihempap pokok beruas berusia lebih 100 tahun.
Kejadian berlaku jam 1 pagi Rabu lalu ketika ahli keluarga sedang tidur manakala Nor Hanis, 38, mengangkat jemuran di dapur.
Dia berkata, ketika sedang berjalan di dapur, bunyi kuat dari atas bumbung kedengaran sebelum pecah dan ia hanya berjarak kurang satu meter dari kedudukannya.
“Ketika kejadian, hujan sangat lebat diiringi ribut dan saya langsung tak terfikir bahawa kejadian itu disebabkan pokok beruas tumbang.
“Akibat kejadian, tiga bilik tidur, sebahagian dapur serta ruang tamu rosak dan apabila hujan, kami terpaksa menyediakan baldi atau besen untuk menadah air.
“Saya, adik serta dua anak saudara kini berlindung di ruang tamu manakala dapur serta peralatan memasak diletakkan di kedai kopi kami di hadapan rumah,” katanya ketika ditemui semalam.
Nor Hanis berkata, setiap kali hujan lebat atau ribut berlaku, memang dia risau memikirkan pokok beruas di belakang rumah dan tidak menyangka, akhirnya ia benar-benar terjadi. Kejadian pokok tumbang itu turut menjejaskan sebuah lagi rumah dihuni Mat Nasir Daud, 62, bersama isteri, dua anak serta dua cucu.
Akibat daripada kejadian itu, tandas yang terletak di luar dan betul-betul di bawah pokok ranap sepenuhnya manakala bumbung dapur turut terjejas.
Mat Nasir berkata, selepas kejadian itu, mereka enam beranak terpaksa menggunakan tandas di masjid berdekatan.
“Selepas ini saya bercadang menebang sebatang pokok kuinin yang ditanam di sebelah pokok beruas itu kerana risau jika berlaku seperti ini (tumbang),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




