Polis beri amaran, jangan bina semula jeti haram di Sungai Golok

Polis beri amaran, jangan bina semula jeti haram di Sungai Golok

nfazlina@nstp.com.my

Rantau Panjang: Tujuh jeti pangkalan haram di sempadan Kelantan-Thailand yang dikenal pasti dibina atas tanah milik persendirian akan dirobohkan.

Tujuh jeti berkenaan iaitu enam di Pasir Mas dan satu di Tumpat antara 223 keseluruhan jeti pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok bermula dari Tumpat hingga ke Jeli.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membina semula jeti haram yang sudah dirobohkan termasuk di tanah milik persendirian.

Katanya, tindakan meroboh pangkalan haram itu dibuat demi keamanan dan keselamatan penduduk Kelantan.

“Selain 216 jeti yang dibina atas tanah kerajaan, tujuh jeti yang berada di atas tanah milik persendirian kita akan robohkan juga selepas mengambil kita sudut perundangan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Kita sudah berbincang perkara ini dan saya mengingatkan mana-mana pihak selepas operasi meroboh dilakukan, tiada lagi yang cuba untuk membina semula jeti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan operasi rintis meroboh pangkalan haram MCA dan Gergaji di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Datuk Nik Raisnan Daud serta Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju.

Terdahulu, operasi meroboh dua jeti pangkalan haram bermula jam 10 pagi menggunakan tiga eskavator.

Operasi berkenaan membabitkan pelbagai agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Tanah dan Jajahan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top