Polis buru lelaki berparang samun kedai runcit

Polis buru lelaki berparang samun kedai runcit

KUALA LANGAT – Polis memburu dua lelaki bersenjatakan parang menyamun sebuah kedai runcit dan melarikan wang tunai di Kebun Baru, Telok Panglima Garang, di sini, semalam

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut pada jam 3 petang pada hari yang sama.

Katanya, dalam laporan itu pengadu yang sedang makan di sebuah restoran menyatakan menerima panggilan daripada pekerjanya memaklumkan dua lelaki telah menyamun kedai mangsa.

“Siasatan polis mendapati, dua suspek lelaki itu memasuki kedai runcit itu dengan bersenjatakan parang.

“Suspek telah mengugut pekerja dengan parang dan mengambil laci yang mengandungi wang tunai, dua tabung masjid dan sebuah telefon bimbit milik pekerja di kedai runcit itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta Proton Wira berwarna hitam.

Tambah beliau, pengadu dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM3,000.

Jelasnya, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03- 31872222. – MalaysiaGazette