Polis buru suspek samun kedai serbaneka dengan senjata

Polis buru suspek samun kedai serbaneka dengan senjata

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Polis memburu suspek bersenjatakan parang yang menyamun sebuah kedai serbaneka di Jalan Sungai Daun, Taman Bistari, di sini, kelmarin.

Video kejadian itu turut tular di media sosial.

Kejadian berlaku pada 9.29 malam menyebabkan lelaki dipercayai pekerja kedai berusia 27 tahun cedera di kepala dan tangan akibat diserang suspek yang kemudian melarikan wang tunai dan beberapa kotak rokok dan beg silang yang keseluruhan kerugian dianggar RM500.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, mangsa mendapatkan rawatan awal di Hospital Sungai Bakap (HSB) sebelum dirujuk ke hospital swasta dan dilapor stabil.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan polis juga sudah memperoleh rakaman kamera

litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian.

“Kita juga sedang mengenal pasti kenderaan digunakan suspek yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Norazmi berkata, pihaknya maklum mengenai video kejadian yang tular di media sosial namun menegaskan siasatan dilaksana sejurus laporan diterima daripada mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Tuan Noremifarhana Tuan Roslan di talian 04-5858 222 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, video tular itu memaparkan sebuah kereta berhenti di hadapan sebuah kedai dengan tiga lelaki memakai baju berwarna gelap dilihat keluar dari kenderaan itu.

Dua lelaki bersenjatakan parang dilihat masuk ke dalam kedai, manakala seorang lagi menunggu di luar sebelum kesemua suspek meloloskan diri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top