Polis minta MCMC analisis kebocoran maklumat saksi inkues Zara Qairina

Polis minta MCMC analisis kebocoran maklumat saksi inkues Zara Qairina

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Polis mengemukakan permohonan analisis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kebocoran maklumat berkaitan seorang saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan dijalankan terhadap kes terbabit selepas pihaknya mendapati kebocoran maklumat itu dikongsi di media sosial.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes itu dilaporkan pada 19 September 2025 (Jumaat), kira-kira jam 4.15 petang.

“Setakat ini, polis sudah merakam keterangan pengadu dan mengemukakan permohonan analisis kepada MCMC.

“Pada masa sama, polis berusaha mendapatkan keterangan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan peguam terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, sambil menambah usaha juga giat dijalankan untuk mengesan suspek dan melengkapkan siasatan sebelum merujuknya kepada pihak berkuasa berkaitan.

Kasim menegaskan sebarang pendedahan atau penyebaran maklumat berkaitan kanak-kanak, terutamanya melalui platform media sosial, adalah satu kesalahan serius yang boleh mengakibatkan tindakan undang-undang.

“Oleh sebab itu, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat sedemikian bagi melindungi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.

Minggu lalu, prosiding inkues ditangguhkan selepas peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili saksi kanak-kanak itu, membangkitkan isu kebocoran maklumat di hadapan koroner Amir Shah Amir Hassan.

Inkues selama 17 hari itu, yang memasuki hari ke-10 hari ini, dijangka membabitkan lebih 30 kanak-kanak daripada 68 saksi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top