bhnews@bh.com.my
PUTATAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berada dalam kesiapsiagaan bagi menangani sebarang ancaman atau pencerobohan anasir luar ke atas negeri ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata pihaknya tidak memandang ringan mengenai maklumat diterima, termasuk dakwaan kehadiran sekumpulan lelaki warga asing yang menyusup ke Lahad Datu melalui perairan Long Patau, Tambisan.
“Walaupun setakat ini kita tiada petunjuk berhubung perkara itu, kita tidak memandang ringan maklumat yang kita dapat.
“Kita sebenarnya sentiasa bersiap siaga bukan kerana maklumat ini sahaja, malah berada dalam kesiapsiagaan tinggi bagi mengatasi apa juga bentuk pencerobohan atau ancaman ke atas keselamatan dan kedaulatan negara kita,” katanya kepada media selepas hadir pada Op Selamat 17 Sempena Tahun Baru Cina 2022, di Jalan Meruntum, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung perkembangan pemantauan keselamatan di kawasan Tambisan, selepas dakwaan itu dilaporkan media pada Khamis lalu.
Sementara itu, Jauteh memaklumkan setakat ini pihak polis sudah menerima laporan daripada individu yang mendakwa kehadiran sekumpulan warga asing berkenaan.
“Ada laporan polis dibuat di Lahad Datu. Setakat ini, kita masih melakukan susulan, risikan dan siasatan sejauh mana maklumat ini sahih atau sebaliknya,” katanya.
Semalam, polis Sabah mengesahkan tiada sebarang petunjuk berhubung dakwaan yang dilaporkan media sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




