am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung klip video tular memaparkan insiden buli membabitkan sekumpulan pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini untuk dirujuk kepada kepada pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Jay January Siowou, berkata beliau memberi jaminan siasatan kes itu akan dijalankan secara holistik dengan mengambil kira semua aspek.
Menurutnya, polis sudah mengambil tindakan proaktif dengan mengesan institusi serta kesemua individu terbabit untuk mendapatkan keterangan.
“Polis terkesan satu video klip pada jam 12.30 tengah hari yang dimuat naik di Facebook (FB).
“Dalam klip video itu terdapat beberapa individu melakukan perbuatan buli terhadap individu lain yang berada di atas katil di dalam sebuah bilik dipercayai asrama.
“Susulan itu, kita mengesan institusi termasuk individu terbabit serta membuka kertas kertas siasatan yang apabila siap akan diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Katanya, orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.
“Pihak polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil memberi keterangan,” katanya.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi satu minit dan 31 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.
Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung, namun tidak dapat dipastikan ia adalah suatu gurauan atau perbuatan buli.
© New Straits Times Press (M) Bhd




