Polis tahan 18 lelaki bantu siasatan dua pergaduhan di Kampung Air

Polis tahan 18 lelaki bantu siasatan dua pergaduhan di Kampung Air

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Polis menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan yang berlaku di Kampung Air, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pertama jam 4 pagi, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an cedera di bahagian betis kanan selepas dipercayai ditikam menggunakan objek tajam yang disyaki duri pari ketika berada di sebuah premis makanan di kawasan berkenaan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu sebelum bertukar menjadi pergaduhan.

Menurutnya, mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu dipercayai diserang oleh beberapa suspek sehingga mengalami kecederaan.

“Kira-kira sejam kemudian, satu lagi pergaduhan dilaporkan berlaku di lokasi sama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian terdahulu.

“Dalam kejadian kedua itu, seorang lelaki mengalami kecederaan lebam pada bahagian hidung akibat dipukul,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan 18 lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, polis turut merampas beberapa barang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek mendapati mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.

Syed Lot berkata, mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Movendran Apoorvasamy.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top