Polis terima enam laporan kes seksual pendakwah selebriti

Shah Alam: Polis Selangor setakat ini telah menerima enam laporan yang didakwa dilakukan pendakwah selebriti yang sebelum ini direman berkaitan kes merogol kenalan Instagram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, ia termasuk lima di daerah Shah Alam dan satu di daerah Petaling Jaya.
Beliau berkata, reman suspek untuk kes pertama akan tamat esok, dan ia akan dimohon sambungan bagi siasatan kes terbaru.
“Siasatan dijalankan di bawah kesalahan seksual seperti Seksyen 376 ( rogol), 354 (cabul), 377 (seks luar tabii) dan 323 (mencederakan) mengikut Kanun Keseksaan.
“Justeru saya sarankan sesiapa yang pernah menjadi mangsa agar tampil membuat laporan dan jangan bimbang untuk bertindak ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan seorang pendakwah selebriti berusia 25 tahun direman lima hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes merogol seorang wanita di sebuah rumah di Seksyen 7 di sini, September tahun lalu.
Suspek yang juga bekas peserta program realiti keagamaan televisyen swasta itu ditahan jam 11 malam pada 26 September selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

 

Sumber : Berita Harian

Malay News
National Desk