LISBON: Selepas Lisbon tahun lalu, kini tiba giliran Porto.
Sekali lagi Portugal menyelamatkan UEFA apabila menawarkan diri untuk menganjurkan final Liga Juara-Juara yang buat tahun kedua berturut-turut terpaksa melupakan Istanbul berikutan pandemik berterusan.
Ketika COVID-19 semakin reda, kebolehan menganjurkan perlawanan terbesar dalam saingan bola sepak kelab di Eropah dan hubungan baik antara persekutuan kebangsaan, FPF dan badan induk itu, Portugal menjadi pilihan terbaik bagi saingan antara Manchester dan Chelsea.
“Sekali lagi kami berharap kepada rakan kami di Portugal bagi membantu UEFA dan Liga Juara-Juara dan saya, seperti selalu, sangat berterima kasih kepada FPF dan kerajaan Portugal kerana bersetuju menganjurkan perlawanan itu walaupun diberitahu dalam tempoh yang seingkat,” kata Presiden UEFA, Aleksander Ceferin.
Malang buat Istanbul, yang pada awalnya akan menjadi tuan rumah final 2020 sebelum diubah UEFA bagi saingan Liga Juara-Juara ke Lisbon pada Ogos, tiga bulan lewat daripada jadual.
Bandar di Turki itu diberitahu akan menganjurkan final musim ini namun ia mustahil dilakukan apabila kerajaan UK meletakkan Turki dalam senarai merah selepas City dan Chelsea mengesahkan semua pasukan England di final. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




