Presiden CBF didakwa ‘payung’ kekasih gelap ke Piala Dunia

Presiden CBF didakwa ‘payung’ kekasih gelap ke Piala Dunia

KEPIMPINAN bola sepak Brazil kembali menjadi perhatian apabila Presiden Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF), Samir Xaud berdepan dakwaan skandal peribadi serta penyalahgunaan perbelanjaan ketika lawatan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS).

Portal Brazil, LeoDias melaporkan Xaud dikaitkan dengan seorang wanita dikenali sebagai Camila Cristina Andrade, usahawan kecergasan dari Roraima yang didakwa menginap di sebuah hotel mewah di New York sepanjang tempoh lawatan rasmi beliau.

Laporan itu mendakwa Andrade berada di Hyatt Regency Grand Central antara 2 hingga 10 Jun, dengan tempahan bilik hotel berjumlah kira-kira 59,424.81 real (sekitar RM47,538) yang dikaitkan dengan nama Presiden CBF.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut belum disahkan secara bebas oleh CBF, manakala Xaud juga tidak mengulas lanjut mengenai hubungan peribadi seperti yang dilaporkan.

Portal sama turut mendakwa Xaud dan Andrade dilihat bersama di sebuah restoran di Manhattan pada 3 Jun sebelum beredar menggunakan kenderaan yang disediakan untuk delegasi CBF.

Difahamkan, selepas itu Xaud ke Mexico City bagi menghadiri majlis pembukaan Piala Dunia bersama isterinya, Natalia Xaud yang telah dikahwininya lebih 20 tahun serta dikurniakan tiga orang anak.

Kontroversi itu semakin hangat apabila timbul pula dakwaan berasingan membabitkan penggunaan dana CBF untuk perjalanan ke Doha pada Disember lalu.

Seorang pempengaruh dan ahli farmasi, Tamires Fernandes Barcellos atau Tata Barcellos, didakwa menerima tajaan perjalanan ke Qatar bagi menyaksikan final Piala Dunia Kelab antara Flamengo dan PSG.

Laporan menyebut beliau menaiki penerbangan kelas perniagaan, menginap di hotel mewah The Ritz-Carlton Doha serta mendapat akses VIP ke perlawanan tersebut, dengan kos penginapan didakwa ditanggung CBF.

Dakwaan itu mencetuskan persoalan mengenai pengurusan kewangan CBF yang kini menjadi perhatian awam.

Wartawan LeoDias yang mendedahkan siasatan itu mendakwa wujud corak perbelanjaan tidak wajar sejak awal kepimpinan Xaud, melibatkan perjalanan untuk individu tertentu.

“Sejak beliau mengambil alih CBF, banyak perjalanan ditanggung oleh konfederasi untuk rakan, keluarga dan individu rapat,” katanya seperti dipetik laporan media Brazil.

CBF bagaimanapun menolak semua dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa setiap perbelanjaan rasmi adalah untuk tujuan institusi, manakala perbelanjaan peribadi ditanggung sendiri oleh individu terlibat.

Menurut laporan Infobae, Xaud kemudiannya telah melunaskan bil hotel di New York selepas isu itu dibangkitkan dan menyerahkan bukti pembayaran kepada pihak media.

CBF turut meminta masa untuk memberikan penjelasan lanjut berhubung baki dakwaan yang tular, ketika badan itu berdepan tekanan meningkat di pentas Piala Dunia.

Kontroversi ini hadir pada saat sensitif buat Brazil, yang masih bergelut dengan prestasi di atas padang selepas keputusan seri 1-1 menentang Maghribi dalam aksi pembukaan kejohanan.

Scroll to Top