Prihatin kebersihan, golongan muda ambil inisiatif bersihkan bandar

Prihatin kebersihan, golongan muda ambil inisiatif bersihkan bandar

Kota Bharu: Ketika sebahagian masyarakat meluahkan rungutan mengenai longkang tersumbat, rumput panjang dan kemudahan awam terbiar di media sosial, terdapat individu yang memilih turun ke lapangan membawa mesin rumput dan peralatan pembersihan demi memastikan bandar Kota Bharu kekal bersih serta terurus.

Tanpa mengharapkan imbuhan apatah lagi mengejar populariti Mohd Rizal Amin Soria, 25, bersama beberapa rakan rapatnya menggerakkan kerja pembersihan secara sukarela di sekitar bandar ini sejak setahun lepas, menerusi pertubuhan Hiyaz Community, didorong rasa tanggungjawab dan kecintaan mendalam terhadap imej negeri Kelantan.

Mohd Rizal Amin berkata gerakan sukarela itu bermula secara kecil-kecilan dengan aktiviti memotong rumput dan membersihkan semak di kawasan laluan awam, stesen bas serta taman rekreasi menggunakan sebuah mesin rumput milik mereka.

“Niat kami hanya mahu membantu mencantikkan kawasan sekitar. Pada awalnya kami bergerak sendiri tanpa dana dan melakukan kerja mengikut kemampuan yang ada,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, kerja pembersihan yang dimuat naik menerusi media sosial Hiyaz Community kemudian mendapat perhatian ramai hingga tular dan membuka ruang kepada pelbagai bentuk bantuan termasuk sumbangan peralatan seperti mesin pemotong rumput dan water jet.

Katanya, dengan tambahan peralatan itu, skop kerja pembersihan turut diperluas merangkumi laluan pejalan kaki, longkang tersumbat, pemotongan pokok serta kerja mengecat kemudahan awam.

“Selepas Hiyaz Community mula dikenali, banyak aduan diterima daripada penduduk terutama membabitkan kawasan didakwa sudah lama tidak diselenggara atau masih menunggu tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami akan semak dahulu status aduan dengan pihak berkaitan sebelum membantu mengikut kemampuan, namun fokus kami lebih kepada kerja penyelenggaraan kecil kerana kerja berskala besar memerlukan tenaga dan kos yang tinggi,” katanya.

Mohd Rizal Amin berkata kebanyakan aktiviti pembersihan dilakukan pada waktu malam atau hujung minggu berikutan komitmennya sebagai pereka grafik sepenuh masa.

Beliau berkata setakat ini hampir 100 kerja pembersihan telah dilakukan di sekitar Kota Bharu melibatkan pemotongan rumput, pembersihan longkang dan penyelenggaraan kemudahan awam.

Menurutnya, fokus utama Hiyaz Community adalah membantu memulihara dan memastikan kemudahan awam sedia ada terus berada dalam keadaan baik demi keselesaan masyarakat.

“Kami bukan mahu mengambil alih tugas pihak berkuasa atau menunjukkan kelemahan mana-mana pihak. Apa yang kami mahu hanyalah melihat bandar ini lebih bersih, ceria, selamat dan terurus.

“Pada masa sama, kami juga berharap usaha ini dapat memupuk kesedaran masyarakat supaya lebih cakna menjaga kebersihan persekitaran,” katanya yang kini memiliki lebih 65,000 pengikut di media sosial.

Mohd Rizal Amin berkata minatnya terhadap kerja sukarela itu turut diinspirasikan oleh arwah ibunya yang aktif membantu masyarakat sejak beliau masih di bangku sekolah.

“Arwah ibu selalu pesan supaya jangan hanya melihat kesusahan orang tanpa berbuat apa-apa. Saya pegang nasihat itu sampai sekarang.

“Saya lakukan semua ini secara santai dan ikhlas. Kepuasan sebenar adalah apabila melihat perubahan berlaku dan masyarakat dapat menikmati persekitaran yang lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top