Prinsip STOP, kekal di satu lokasi sekiranya tersesat di hutan

Prinsip STOP, kekal di satu lokasi sekiranya tersesat di hutan

SHAH ALAM – Ilmu ikhtiar hidup dan pengurusan emosi menjadi antara elemen paling penting dalam membantu seseorang pendaki terus bertahan sekiranya tersesat di hutan.

Malim gunung, Halfian Abd Rahim berkata, pendaki berpengalaman kebiasaannya akan mengaplikasikan prinsip STOP iaitu Berhenti (Sit), Berfikir (Think), Perhati (Observe) dan Rancang (Plan) bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk dan panik ketika berdepan situasi kecemasan.

Menurutnya, antara tindakan utama yang perlu dilakukan ialah mencari atau membina perlindungan sementara selain mencari kawasan lebih selamat termasuk gua bagi mengelak hipotermia, hujan dan angin.

“Mereka juga akan cuba mengekalkan suhu badan dengan menukar pakaian basah, memakai pakaian tambahan dan menggunakan selimut kecemasan aluminium atau Mylar.

“Jika bersama pendaki lain, mereka turut boleh berkongsi haba badan bagi mengelakkan hipotermia,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ibu lasak dan berani’ – Keluarga yakin Jaslinda mampu bertahan

Kronologi kehilangan Jaslinda

Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat

Pasukan SAR jumpa botol air, bungkusan milik Jaslinda

Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan

Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu

Menurut Halfian, pendaki yang tersesat lazimnya akan mencari sumber air bersih seperti sungai dan mata air, selain mengumpul air hujan atau embun menggunakan khemah dan plastik.

Katanya, ilmu mengenal pasti tumbuhan tertentu seperti rotan dan periuk kera juga boleh membantu mendapatkan sumber air dalam situasi kecemasan.

“Mereka juga akan mengurangkan pergerakan tidak perlu bagi menjimatkan tenaga selain mencatu makanan dan minuman supaya bekalan dapat bertahan lebih lama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Halfian berkata, penggunaan wisel, unggun api, lampu suluh dan suar turut menjadi antara kaedah penting sebagai isyarat kecemasan kepada pasukan SAR.

“Sekiranya keadaan mengizinkan, mereka akan cuba melakukan navigasi asas menggunakan peta dan kompas atau kekal di lokasi selamat seperti denai utama sementara menunggu bantuan SAR.

“Selain kemahiran fizikal, pengurusan emosi dan terapi hutan juga penting kerana panik boleh menyebabkan seseorang membuat keputusan yang salah ketika berada dalam situasi cemas,” katanya.

Suhaila berkata, tindakan paling selamat bagi seseorang ketika tersesat di hutan ialah kekal berada di lokasi terakhir dalam tempoh 24 jam.

Suhaila berkata, tindakan paling selamat bagi seseorang ketika tersesat di hutan ialah kekal berada di lokasi terakhir dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, pendaki berpengalaman, Suhaila Sulaiman, 44, berkata, tindakan paling selamat bagi seseorang ketika tersesat di hutan ialah kekal berada di lokasi terakhir dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya, langkah itu penting terutama jika pendaki berada di kawasan hutan tebal dan tidak biasa dengan laluan pendakian.

“Kalau saya sendiri akan pilih untuk kekal di satu tempat kerana apabila terus berjalan dalam keadaan panik atau keliru, risiko tersasar lebih jauh sangat tinggi.

“Biasanya pasukan pendaki lain atau penyelamat akan kembali menelusuri laluan asal untuk mengesan pendaki hilang,” katanya.

Suhaila berkata, setiap pendaki juga disarankan membawa kelengkapan asas kecemasan walaupun mendaki di trek popular atau laluan dianggap mudah.

“Jangan terlalu yakin bergerak walaupun sudah berpengalaman kerana keadaan dalam hutan boleh berubah dan pelbagai perkara tidak dijangka boleh berlaku,” ujarnya.

 

 

Scroll to Top