am@hmetro.com.my
Ipoh: Fokus Barisan Nasional (BN) bagi ‘memikat’ sokongan 14,000 pengundi muda berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak bererti calon mewakili BN yang hendak diletakkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu kelak mesti daripada kalangan calon muda.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tidak kira sama ada calon muda mahupun calon lebih berusia yang diletakkan oleh BN, pengundi di PRK DUN terbabit perlu bijaksana dengan memilih wakil rakyat dari kerajaan yang akan lebih menguntungkan dari segi pembangunan di komuniti itu.
Menurutnya, jika sekali pun keputusan PRK itu memihak kepada pembangkang, ia tidak mengubah kedudukan kerajaan sekarang dan justeru rakyat wajar memilih calon dari kerajaan yang dianggap memberi kelebihan.
“Muda atau tua juga sangat subjektif. Namun selagi mana dia adalah wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan baik, maka janganlah kita terikat dengan itu (calon muda) sebab semua orang akan jadi tua,” katanya kepada pemberita selepas program Sambutan Hari Wanita Peringkat Perak 2025 di Laman Seri Ridzuan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan, dan Koperasi, Datuk Salbiah Mohamed.
PRK DUN Ayer Kuning dijangka berlangsung susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tapah, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung ketika menyertai sebuah kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti iaitu 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Sementara itu, pengundi di DUN Ayer Kuning, Normawati Ah Adnan, 41, mengharapkan wakil rakyat kawasan itu yang bakal dipilih kelak dapat terus-menerus menyantuni penduduk khususnya dengan memberi tumpuan terhadap kebajikan warga emas, ibu tunggal, serta golongan memerlukan memandangkan kawasan itu dikategorikan sebagai luar bandar.
Kakitangan swasta itu berkata, wakil rakyat kawasan itu kelak diharapkan dapat menyediakan peluang bagi membangunkan ekonomi kepada anak muda terutamanya dalam industri pertanian, penternakan serta perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Bagi anak-anak muda pula biasanya mereka ini bekerja sendiri, jadi sesiapa yang dipilih menjadi wakil rakyat nanti dapat menyediakan peluang ekonomi kepada mereka contohnya industri pertanian, PMKS dan penternakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




