
Ka Siong ditemui pemberita selepas Mesyuarat BN Johor pada Jumaat.
JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh diadakan pada bila-bila masa selepas lebih empat tahun Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri sejak 2022.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA telah mempersiapkan jenteranya di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memastikan kemenangan gabungan tersebut.
“Kita sudah empat tahun dan memasuki tahun kelima, kini hampir sampai penghujung. Sudah tentu MCA telah bersiap sedia. Memasuki tahun kelima ini bermaksud PRN Johor akan berlangsung pada bila-bila masa.
“Latihan pusat juga sudah diadakan bulan lalu. Ia dihadiri seramai 320 orang pemimpin di semua kawasan. Jentera telah digerakkan dan kerja-kerja yang perlu menjelang PRN telah dilakukan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini pada Jumaat.
Sebelum itu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempengerusikan Mesyuarat BN Johor yang dihadiri kepimpinan parti komponen gabungan itu di negeri ini.
Mengulas mengenai pembubaran DUN, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, perkara tersebut merupakan hak mutlak Menteri Besar mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan Negeri setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim.
Tambah Ka Siong, MCA mahu fokus kepada usaha meraih sokongan pengundi berbanding meletakkan sasaran khusus memenangi kerusi DUN tertentu.
“Adalah lebih praktikal untuk jentera parti bekerja keras terlebih dahulu di peringkat akar umbi sepanjang tempoh berkempen tanpa berasa terlampau yakin.
“Walaubagaimanapun, kerajaan negeri telah menunjukkan prestasi cemerlang sejak 2022 yang berjaya membawa limpahan ekonomi seimbang dan rakyat boleh menilai ,” katanya.



