
Hakimin Mokhtar
MELAKA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bersikap telus kepada rakyat berhubung tarikh dan niat sebenar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Ketua AMK Melaka, Hakimin Mokhtar berkata, perkembangan pembubaran DUN Johor yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu perlu diberi perhatian oleh rakyat negeri ini kerana berpotensi menjadi acuan yang sama digunakan di Melaka.
Menurutnya, alasan mendapatkan mandat baharu bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri seperti yang dinyatakan kerajaan Johor menimbulkan persoalan memandangkan penggal DUN negeri itu sepatutnya hanya berakhir pada April 2027.
“Tiada krisis, tiada keruntuhan kerajaan. Hanya kitaran masa yang menguntungkan BN semata-mata.
“Ini jelas mendedahkan bahawa pembubaran awal ini adalah manuver taktikal, bukannya demi kepentingan perkhidmatan awam,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata, tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka akan berakhir pada 30 November 2026 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Jika BN Melaka mengikut acuan yang sama, rakyat Melaka juga akan berdepan pilihan raya yang ditentukan masa dan strateginya oleh BN, bukan berdasarkan keperluan sebenar rakyat,” ujarnya.
Tambahnya, negara bakal berdepan lima pilihan raya utama dalam tempoh 18 bulan akan datang yang akan memberi kesan kepada perbelanjaan awam serta tumpuan terhadap agenda ekonomi.
“Setiap kali pilihan raya diadakan secara berasingan dan mengikut kepentingan parti, kos ditanggung oleh pembayar cukai, tumpuan terhadap ekonomi terganggu dan rakyat terpaksa berulang kali dieksploitasi sebagai ‘pengesah mandat’ yang sebenarnya telah dikawal sebelum tabir diangkat.
“Justeru, AMK Melaka menggesa Ketua Menteri Melaka tampil menjelaskan kepada rakyat mengenai tarikh serta alasan sebenar pembubaran DUN Melaka,” katanya.



