‘Projek kerajaan jangan terus berpihak kepada kontraktor asing’ – Rozali Ismail

‘Projek kerajaan jangan terus berpihak kepada kontraktor asing’ – Rozali Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengkaji semula pendekatan dan metodologi pengagihan projek terutama membabitkan kerja teknikal dan berteknologi tinggi bagi memastikan lebih banyak peluang diberikan kepada kontraktor tempatan khususnya Bumiputera.

Tokoh korporat, Tan Sri Rozali Ismail berkata, banyak syarikat kontraktor tempatan mempunyai keupayaan dan pengalaman mencukupi untuk melaksanakan projek berskala besar, namun peluang diberikan dilihat masih terhad.

Menurutnya, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) dijangka mengemukakan resolusi kepada kerajaan bagi meneliti semula kaedah pemberian kontrak kerajaan supaya tidak menyimpang daripada matlamat asal membantu pembangunan kontraktor Bumiputera.

“Kita melihat banyak projek ketika ini diberikan kepada kontraktor asing. Mungkin ada faktor tertentu termasuk perjanjian dua hala, namun syarikat Bumiputera wajar diberi peranan lebih besar.

“Kalau pun projek diberikan kepada syarikat asing, kontraktor tempatan sepatutnya dilibatkan sebagai rakan usaha sama, bukan sekadar subkontraktor supaya mereka dapat menimba pengalaman, melaksanakan kerja dan menikmati keuntungan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan (PKMMWP) Kali Ke-44 di sini pada Rabu.

Rozali (Barisan kedua, empat dari kiri) bergambar bersama jawatankuasa selepas Majlis Perasmian dan Mesyuarat Agung Tahunan
PKMMWP Kali Ke-44 pada Rabu.

Rozali (Barisan kedua, empat dari kiri) bergambar bersama jawatankuasa selepas Majlis Perasmian dan Mesyuarat Agung Tahunan
PKMMWP Kali Ke-44 pada Rabu.

Rozali berkata, isu itu bukan hanya membabitkan projek kecil atau kerja penyelenggaraan, sebaliknya berlaku di semua peringkat termasuk projek mega yang ditawarkan melalui tender antarabangsa.

Menurut beliau, dakwaan kontraktor tempatan kurang berkeupayaan tidak wajar kerana banyak syarikat Malaysia telah membuktikan kemampuan mereka melaksanakan projek di luar negara.

“Kontraktor tempatan juga berjaya kerana banyak syarikat Malaysia sudah melaksanakan projek di China, India dan Timur Tengah.

“Ini membuktikan kontraktor tempatan mempunyai kemampuan untuk bersaing dan melaksanakan projek berskala besar jika diberikan peluang,” jelas beliau.

Mengulas mengenai proses tender, beliau berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan semula syarat dan klausa tertentu yang memberi kelebihan kepada kontraktor tempatan tanpa menjejaskan prinsip persaingan sihat.

Rozali mengakui amalan menyewakan lesen kontraktor kepada pihak lain masih berlaku dan menjadi isu berpanjangan dalam industri pembinaan.

Katanya, agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kewangan perlu meneliti semula dasar serta mekanisme pemantauan bagi memastikan amalan itu dapat dibendung.

“Saya rasa perkara ini perlu dilihat semula secara telus supaya lesen kontraktor tidak disalahgunakan atau disewakan kepada pihak lain,” tambahnya.

Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Amran Mohamad berkata, kerajaan sebenarnya telah menyediakan pelbagai peluang kepada kontraktor Bumiputera.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, masih terdapat isu seperti kartel, monopoli dan penyalahgunaan kuasa menjejaskan agihan projek kepada kontraktor yang benar-benar layak.

“Agensi penguat kuasa perlu memainkan peranan lebih tegas bagi memastikan tadbir urus lebih telus dan berintegriti,” ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan perlu terus memperkukuh pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebelum mengurangkan kebergantungan industri pembinaan terhadap pekerja asing.

Menurut Amran, langkah itu penting bagi memastikan negara mempunyai tenaga kerja tempatan mencukupi serta berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri.

Menurutnya, ketika ini sektor pembinaan masih bergantung kepada kepakaran dan kemahiran tenaga kerja dari luar negara.

“Kalau kita hendak mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, kita perlu kuatkan TVET terlebih dahulu. Jika tidak, keadaan akan terus sama kerana industri masih memerlukan tenaga kerja berkemahiran,” jelas beliau.

Scroll to Top