PRU15: 'Pengundi sudah tetap pendirian nak undi parti mana jadi kerajaan'

PRU15: 'Pengundi sudah tetap pendirian nak undi parti mana jadi kerajaan'

bhnews@bh.com.my

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) yakin pengundi akan terjemahkan undi mereka kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini seperti mana mereka lakukan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), sebelum ini.

Timbalan Pengerusi BN yang juga calon gabungan itu bagi Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pihaknya yakin pengundi sudah membuat keputusan lebih awal untuk memilih parti mana patut dipilih dan diangkat bagi menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan.

PRU15: 'Pengundi sudah tetap pendirian nak undi parti mana jadi kerajaan'

“Saya yakin majoriti pengundi sudah membuat keputusan siapa akan mereka pilih, apa yang ada dalam fikiran mereka seperti diterjemahkan di PRK dan PRN sebelum ini. Kini mereka menunggu PRU untuk mereka terjemahkan pula di peringkat kebangsaan.

“Saya berharap ia akan berlaku pada hari pengundian nanti kerana kita tidak boleh lagi memperjudikan masa depan kita dengan memberi kerajaan tidak mantap, kerajaan campuran mempunyai pelbagai agenda berbeza,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di Kampung Paroi, hari ini.

Pada PRN Melaka dan Johor sebelum ini, BN memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dan beberapa siri PRK selepas PRU14 menyaksikan sokongan pengundi kembali kepada parti gabungan BN/UMNO.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya BN berkata, keadaan parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang berbeza agenda menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi Perdana Menteri kali kedua selepas PRU14, tidak dapat bertahan.

Katanya, Dr Mahathir terpaksa meletakkan jawatan kerana tidak tahan dengan kerenah terlampau banyak dalam gabungan PH.

“Tun tak boleh buat keputusan kerana mereka kena rujuk dengan parti masing-masing, mana boleh urus kerajaan macam itu. Negara mesti diuruskan dengan terbaik.

“Sebab itu ia perlukan kerajaan mantap dan BN memperoleh majoriti dua pertiga sejak dulu dapat uruskan negara dengan baik serta dibangunkan dengan cepat sehingga dicemburui masyarakat antarabangsa yang lain,” katanya.

Mohamad berkata, BN mempunyai pasukan berkaliber dan mempunyai pengalaman luas termasuk dalam kalangan bekas menteri dan menteri besar untuk mengembalikan legasi parti itu mentadbir negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top