saiful.haizan@nstp.com.my
PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan melalui Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersidang secara maya hari ini mengambil ketetapan untuk menambah baik pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri tahun ini.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata peruntukan di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada semua kerajaan negeri dinaikkan daripada RM350 juta kepada RM400 juta.
“Peningkatan peruntukan ini adalah bagi membiayai aktiviti pemindahan fiskal ekologi sebagai insentif tambahan kepada kerajaan negeri untuk menjamin kelestarian biodiversiti negara,” katanya.
Mesyuarat Majlis Kewangan Negara secara maya itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri.
Kementerian Kewangan, berkata Kerajaan Persekutuan turut menyedari situasi yang dialami kebanyakan kerajaan negeri yang berhadapan dengan keadaan sukar terutama dalam pengurusan kewangan akibat pandemik COVID-19.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Persekutuan meluluskan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri berjumlah RM440 juta bagi membantu kerajaan negeri yang mengalami defisit untuk menguruskan hal ehwal kewangan dan melaksanakan projek pembangunan masing-masing.
Kementerian Kewangan, berkata Kerajaan Persekutuan juga amat prihatin terhadap keselamatan pengguna jalan raya dan kerana itu, Majlis Kewangan Negara bersetuju supaya Garis Panduan Tatacara Penggunaan Pemberian Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) ditambah baik antaranya peluasan takrifan penyenggaraan jalan negeri.
“Keputusan ini diharap dapat memberi fleksibiliti kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan mengikut keutamaan dan kesegeraan di negeri masing-masing, seterusnya menjamin keselamatan rakyat terutama pengguna jalan raya,” katanya.
Turut diberi tumpuan ialah pengurangan hasil pendapatan kerajaan negeri yang sangat drastik akibat COVID-19 dan sebagai bantuan, mereka diberikan peruntukan RM260 juta bagi melaksanakan projek berskala kecil di peringkat akar umbi.
“Agihan pertama sebanyak RM60 juta disalurkan kepada negeri dengan had maksimum bagi setiap projek ditetapkan pada RM100,000 melalui kaedah cabut undi untuk memastikan pengagihan peruntukan dapat memanfaatkan kontraktor kecil Bumiputera secara saksama,” kata kenyataan itu.
Sementara itu Kementerian Kewangan, berkata peningkatan pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri adalah manifestasi kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan hubungan dengan negeri sentiasa berada pada tahap yang terbaik.
“Besarlah harapan Kerajaan Persekutuan supaya pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri terutama dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




