Puteri Aishah luah rindu, sifatkan arwah Mama terbaik di dunia

Puteri Aishah luah rindu, sifatkan arwah Mama terbaik di dunia

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Aishah meluahkan perasaan rindu yang mendalam buat ibunya, Allahyarham Norita Sulaiman yang kembali ke Rahmatullah, Ahad lalu.

Menerusi hantaran Instagram (IG), Puteri Aishah atau nama penuh, Puteri Aishah Sulaiman, 32, berkongsi luahan hati penuh kasih buat insan yang disifatkannya sebagai tunjang kekuatan sepanjang hayatnya.

“Selamat jalan mama kesayanganku. Terima kasih atas segala pengorbanan yang tidak terhingga. Awak adalah Mama yang terbaik di seluruh dunia.

“Cinta Angah (panggilan untuk Puteri Aishah) pada Mama melebihi segala yang Angah cinta di dunia ini. Saya tahu cinta Mama terhadap saya juga tiada penghujung,” tulisnya.

Bintang drama Terima Aku Seadanya itu turut mendedahkan pemergian ibunya itu berpunca daripada penyakit kanser yang dihadapinya sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, Puteri Aishah tidak memaklumkan secara terperinci jenis kanser.

“Mama dah lawan kanser hampir 10 tahun. Terima kasih dah berjuang habis-habisan untuk tinggal bersama kami di dunia ini selama mungkin dan sekarang…. Mama rehat okay?

“Saya akan abadikan kenangan kita bersama buat selamanya. Mama akan sentiasa dan selamanya di hati Angah.

“Tiada siapa yang boleh gantikan Mama saya dan Angah harap, Mama selalu datang dalam mimpi Angah dan tolong peluk saya… Saya sayang Ma,” luahnya.

Dalam hantaran berkenaan, Puteri Aishah berkongsi beberapa keping foto kenangan bersama arwah yang menjadi saksi cinta seorang anak yang tidak pernah berpenghujung.

Selasa lalu, Puteri Aishah memaklumkan Allahyarham Norita menghembuskan nafas terakhir pada 25 Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top