lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyifatkan dakwaan Datuk Seri Rafizi Ramli beliau gagal dalam mengendalikan pemilihan parti itu sebagai pandangan peribadi penyandang Timbalan Presiden PKR itu semata-mata.
Dr Zaliha turut menafikan dakwaan JPP tidak mengambil endah terhadap aduan dibangkitkan berhubung pemilihan itu.
“Saya sudah nyatakan sebelum ini banyak aduan yang kita terima dan kita teliti satu per satu.
“Kita terima lebih 280 aduan daripada pelbagai peringkat termasuk di peringkat pencalonan, kemudian di peringkat kempen dan seterusnya keputusan peringkat cabang.
“Jadi, saya menafikanlah kita tidak memberi perhatian Memang sekarang kita sedang memberi perhatian, ada sebahagian yang sudah pun diambil tindakan,” katanya selepas merasmikan Hari Belia Negara 2025 peringkat Wilayah Persekutuan di Lanai@Matic di sini, hari ini.
Terdahulu, Rafizi dalam siaran langsung audio siar Yang Bakar Menteri mendakwa, Dr Zaliha gagal menyelesaikan aduan berhubung dakwaan kepincangan yang wujud di dalam pemilihan peringkat cabang.
“Kalau JPP dan Dr Zaliha nak marah, marahlah. Tetapi itu tanggungjawab mereka untuk mendengar aduan dan bertindak secara bebas.
“Bantahan sampai ratusan pun tidak dijawab. Apabila tanya, JPP buat tak tahu. Pengerusi JPP sepatutnya teliti setiap aduan, panggil pihak terlibat, semak bukti dan tapis sebaik mungkin,” kata Menteri Ekonomi itu.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, JPP menerima sebanyak 251 pencalonan bagi semua termasuklah di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




