JUTAWAN Britain, Jim Ratcliffe menyifatkan satu penghormatan besar dan tanggungjawab selepas pembelian saham minoritinya dalam Manchester United dimuktamadkan semalam.
Pelaburan jutawan berusia 71 tahun itu menyaksikan dia akan mendapat kawalan dalam operasi bola sepak United selepas segala proses diluluskan oleh Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Persatuan Bola Sepak Inggeris minggu lalu.
Pada 24 Disember tahun lalu, Ratcliffe telah bersetuju untuk membeli 25 peratus kepentingan dalam United daripada keluarga Glazer dalam perjanjian bernilai sekitar £1.02 bilion (RM6.2 bilion).
Berikutan penyempurnaan perjanjian itu, pengasas gergasi petrokimia INEOS itu telah melabur AS$200 juta (RM959 juta) untuk menjadikan jumlah pegangannya kepada 27.7 peratus dan akan menyuntik AS$100 juta (RM479 juta) lagi menjelang akhir tahun ini untuk pelaburan dalam infrastruktur di Old Trafford.



