Raya paling sunyi, tanpa 'hero' – Sharnaaz

Raya paling sunyi, tanpa 'hero' – Sharnaaz

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad mengaku sambutan Aidilfitri kali ini adalah antara paling suram dan tidak bermakna dalam hidupnya, apabila terpaksa melalui buat kali pertama tanpa kehadiran arwah bapanya, Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad.

Menurut Sharnaaz, lebaran tahun ini tidak memberikan sebarang ‘rasa’ dan menjadi detik yang ingin dilupakan secepat mungkin.

“Saya memang tak menyambut Aidilfitri tahun ini dan boleh dikatakan lebaran yang tiada ‘rasa’ serta paling ‘tawar’ dalam hidup.

“Saya bangun pagi pada satu Syawal lalu pun dalam keadaan diri saya yang tidak fokus. Saya bangun untuk solat sunat Aidilfitri dan menjamah makanan.

“Sebolehnya saya nak selesaikan sambutan ini dengan secepat mungkin, tapi kenapa lambat sangat nak berakhir pada satu Syawal lalu.

“Selepas itu barulah saya berasa lega. Lagipun ini adalah tahun pertama saya menyambut Aidilfitri tanpa dia,” luahnya ketika ditemui usai tayangan perdana filem Blood Brothers: Bara Naga, di sini, semalam.

Meskipun kehilangan itu cukup mendalam, Sharnaaz memberitahu dia tidak menitiskan air mata sepanjang Aidilfitri, sebaliknya emosi itu sudah terluah ketika hari ke-40 pemergian bapanya.

“Saya tidak menitiskan air mata pun sepanjang Aidilfitri ini. Kali terakhir saya menangis pada hari ke-40 bapa saya meninggal dunia. Waktu itu saya gagal mengawal diri.

“Walaupun pada hari itu saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya, tapi entah kenapa tiba-tiba seperti ada butang yang mengingatkan dan saya terus rasa sejuk satu badan dan tak boleh nak mengawal emosi,” katanya.

Menyentuh soal kenangan, Sharnaaz memberitahu dia mengenakan jam tangan milik arwah bapanya pada hari tayangan semalam sebagai cara untuk merasakan kehadiran figura itu sentiasa dekat di sisinya.

“Hari ini (semalam) pun saya pakai jam bapa saya. Buat kali pertama saya baru buka bungkusan jam ini daripada tisu hospital dan saya yakin dia bersama saya,” katanya.

Terdahulu, hero kesayangan aktor itu menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada usia 78 tahun pada 27 November tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top