am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: “Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah. Kami bersyukur jenazah Haqim akhirnya ditemukan pada jam 7.45 pagi hari ini,” kata Nur Diana Abdul Rahim Lee, 50.
Nur Diana berkata, jenazah adik bongsu daripada tujuh beradik itu ditemukan di lokasi sejauh 1,000 meter daripada lokasi dia dilaporkan hilang.
Menurutnya, dia dan ahli keluarganya berterima kasih atas keprihatinan ramai yang mendoakan keselamatan Haqim Abdul Rahim Lee selepas dilaporkan dipukul ombak di Pantai Batu Layar, Punggai di Bandar Penawar pagi semalam.
Katanya, jenazah Haqim dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan di Taman Mount Austin di sini.
“Haqim akan dikebumikan berdekatan kubur arwah ayah selepas diserahkan kepada keluarga.
“Arwah akan dirindui selamanya, semoga roh arwah dicucuri rahmat ditempatkan dikalangan orang orang yang beriman.
“Tidak sangka selepas kehilangan adik perempuan saya, Rozzana yang koma di Hospital Myongji, Korea Selatan dan meninggal dunia pada 2021, kini Haqim pula sudah tiada,” katanya ketika dihubungi.
Semalam Nur Diana berkongsi kebimbangan keluarganya terhadap keselamatan Haqim yang hilang selepas dipukul ombak.
Kejadian berlaku genap genap 41 hari arwah bapa wanita itu meninggal dunia akibat sakit tua.
Haqim antara dua mangsa yang dilaporkan hilang ketika sedang bermandi di Pantai Batu Layar.
Rakan Haqim, Muhammad Syahmie Zamzam, 26, ditemukan anggota bomba pada jarak 100 meter dari pantai Batu Layar pada 3.19 petang semalam.
Nur Diana yang sebelum ini pernah menjadi tumpuan media apabila salah seorang adiknya, Rozzana meninggal dunia di Korea pada 2021.
Selepas menempuh pelbagai halangan, Nur Diana akhirnya berlepas ke Korea Selatan malah wanita itu kehilangan dua anak pada 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd




