Miami: Bekas pengurus Tottenham Hotspur dan Portsmouth, Harry Redknapp menyifatkan hukuman penggantungan dua perlawanan ke atas pertahanan England, Jarell Quansah sebagai terlalu keras sehingga secara berseloroh menggesa Perdana Menteri Britain menghubungi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk campur tangan.
Redknapp mengeluarkan kenyataan itu selepas FIFA mengekalkan hukuman dua perlawanan terhadap Quansah susulan kad merah diterimanya ketika England menewaskan Mexico 3-2 pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
“Suruh Perdana Menteri kita telefon FIFA,” kata Redknapp dalam nada bergurau ketika mengulas keputusan badan induk bola sepak dunia itu.
Quansah dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati dia melakukan terjahan berbahaya dengan tapak kaki ke arah pemain Mexico.
FIFA kemudian mengklasifikasikan insiden itu sebagai kekasaran serius dan menambah hukuman kepada dua perlawanan.
Keputusan itu bermakna pemain Liverpool berkenaan akan terlepas aksi suku akhir menentang Norway di Miami serta separuh akhir sekiranya England layak.
Quansah hanya boleh kembali beraksi jika England mara ke final Piala Dunia.
Hukuman berkenaan mencetuskan perdebatan kerana ia berbeza dengan kes membabitkan penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, yang sebelum ini berjaya mengelak penggantungan selepas keputusan asal diubah.
Ketiadaan Quansah menambah masalah buat pengurus England, Thomas Tuchel, yang sudah pun berdepan kekurangan pilihan di posisi bek kanan susulan beberapa pemain mengalami kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




