Remaja kreatif hasilkan telefon lipat DIY

Remaja kreatif hasilkan telefon lipat DIY

Beijing: Seorang pelajar sekolah menengah di China memanfaatkan kreativitinya mencipta telefon mudah alih boleh lipat menegak dengan menggunakan pencetak 3D dan komponen telefon pintar lama.

Lan Bowen, dari Sekolah Tinggi Yiling di Yichang di wilayah Hubei tengah, berkongsi klip video yang menunjukkan pembuatan telefon pintarnya di platform media sosial pada 16 Februari lalu.

Rakaman berdurasi kurang enam minit itu ditonton 4.7 juta kali dan meraih 400,000 tanda suka.

Lan berkata, ideanya untuk mencipta telefon pintar boleh lipat menegak tercetus selepas dia mendapati pelbagai jenis model menegak lipat ke dalam tersedia di pasaran, tetapi tiada telefon menegak berlipat di luar, yang menjadikan skrin di luar semasa bengkok.

“Saya memanggilnya mesin kad makan kerana panjang dan lebarnya serupa dengan kad makan kantin selepas dilipat, walaupun ia lebih tebal,” katanya.

Lan berjaya menghasilkan telefon setebal 16 milimeter (mm), jika dilipat.

Bingkainya dibuat menggunakan pencetak 3D yang dibelinya dengan harga 2,000 yuan (kira-kira RM1,225) pada tahun lalu.

Bahagian teras dipasang dengan komponen yang kebanyakannya daripada telefon bimbit lama yang digunakan ahli keluarganya. Sebilangan kecil bahan lain dibeli secara dalam talian.

Halangan utama adalah fungsi skrin sentuh tidak berfungsi apabila telefon dibuka.

“Saya dapati sebabnya ialah skrin ditolak keluar apabila ia dibuka.

“Saya mengubah reka bentuknya, banyak mengujinya dan merosakkan beberapa skrin sebelum menyelesaikan masalah ini.

“Telefon pintar saya berada pada tahap sangat primitif, dengan banyak kekurangan. Tetapi perkara yang baik ialah ia mampu melaksanakan semua fungsi telefon mudah alih biasa,” katanya.

Ciptaan luar biasa remaja itu mendapat pujian di media sosial China.

Pelajar tahun satu di sekolah menengah itu mengakui dia hanya cemerlang dalam bahasa Inggeris dan geografi, tetapi berprestasi rendah dalam mata pelajaran lain, lapor Jimu News.

Dia meminati kraftangan sejak kecil dan membuat beberapa model tentera ketika belajar di sekolah rendah.

Bapa Lan seorang pemandu teksi, manakala ibunya ejen jualan insurans dengan kedua-duanya menyokong hobinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top