Rezeki pemain simpanan Australia dapat jersi Messi

Rezeki pemain simpanan Australia dapat jersi Messi

Devlin (kiri) berasa bertuah dapat bertukar jersi dengan Messi sejurus tamat aksi kalah mati Australia menentang Argentina minggu lalu. – Foto Agensi

BIARPUN tidak beraksi walaupun untuk satu minit pada Piala Dunia 2022, namun pemain tengah Australia, Cameron Devlin memahat memori terindah dalam kerjaya bola sepaknya di Qatar.

Pemain berusia 24 tahun itu menerima ‘hadiah besar’ apabila bertukar jersi dengan bintang Argentina, Lionel Messi selepas tamat aksi 16 pasukan terbaik 4 Disember lalu.

Devlin yang beraksi dengan kelab Heart of Midlothian di Liga Scotland bertukar jersi selepas Socceroos kalah 1-2 dan Messi meledak satu gol dalam penampilan ke-1,000 itu.

Usai perlawanan, ramai pemain muda Australia merakamkan foto dengan pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or itu yang dianggap antara yang terbaik di dunia.

Ketika rakan sepasukan berkongsi gambar swafoto dan detik berjabat tangan dengan legenda Argentina itu sebagai kenangan, Devlin membuka rahsia bagaimana dia mampu mendapatkan jersi Messi walaupun langsung tidak beraksi di Qatar.

“Saya masuk ke padang dan menenangkan rakan sepasukan terlebih dahulu dan kemudian bersalaman dengan Messi,” kata Devlin kepada wartawan di Lapangan Terbang Sydney sebaik tiba dari Qatar pada Rabu.

“Tiada siapa bercakap apa-apa, jadi saya mencuba nasib dan dia berkata, ‘Saya (Messi) jumpa anda di dalam’. Itulah yang terjadi.

“Pada mulanya saya mahu memberi peluang kepada pemain lain mengambil kesempatan itu tetapi tiada siapa pedulikannya, jadi saya fikir mengapa tidak saya?” tambahnya.

Walaupun Messi bergelar bintang ternama, dia sudi bertukar jersi dengan Devlin walaupun langsung tidak mengenali siapa lelaki itu.

Klip video yang tular di media sosial menunjukkan Messi bertukar jersi dengan Devlin sambil memegang badan pemain Australia itu.

“Jersi dia lebih bernilai dan saya terkejut dia sudi menerima jersi saya.

“Sudah tentu Messi tak kenal saya tetapi dia lelaki yang baik dan merendah diri,” ujar Devlin.