Ribuan penduduk tunggu bantuan selepas 48 maut akibat gempa bumi

JAKARTA: Ribuan penduduk yang dipindahkan menunggu bantuan pada Ahad di pulau Flores, Indonesia selepas gempa bumi kuat mengorbankan 48 orang, mencederakan puluhan mangsa serta merosakkan ratusan rumah dan bangunan.

Kira-kira 5,000 penduduk meninggalkan rumah masing-masing selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda pulau itu pada awal Sabtu, diikuti 341 gegaran susulan dalam tempoh beberapa jam berikutnya, kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Suar Pelita Panjaitan.

Penduduk di beberapa kawasan terputus bekalan elektrik dan telekomunikasi, manakala sekurang-kurangnya satu laluan kecemasan masih tidak dapat dilalui.

“Kami memerlukan makanan, minuman, ubat-ubatan dan lampin untuk kanak-kanak,” kata Umri, penduduk kampung Nangahale di pantai utara Flores, kepada AFP pada pagi Ahad.

Lelaki berusia 55 tahun itu, yang seperti ramai rakyat Indonesia hanya menggunakan satu nama, berlindung di atas bukit selama 24 jam bersama penduduk lain kerana takut pulang ke rumah.

Nurhidayati, 55, turut menghabiskan malam di atas tikar di bukit yang sama.

“Saya masih sangat takut; jantung saya berdegup kencang apabila teringat gegaran semalam… Kami terus berlari ke sini semalam. Saya sangat takut sekarang dan masih trauma akibat gempa bumi pada 1992. Saya tidak berani pulang ke rumah,” katanya.

Flores pernah dilanda gempa bumi berukuran 7.7 magnitud pada 1992 yang mencetuskan tsunami dan mengorbankan kira-kira 2,500 orang.

“Saya berharap kerajaan akan segera mengagihkan bekalan bantuan kepada kami,” tambah Nurhidayati.

Berton berkata. sekurang-kurangnya 101 penduduk Flores dilaporkan cedera.

“Selain kehilangan nyawa, gempa bumi yang berlaku di luar pantai itu menyebabkan kerugian material yang melumpuhkan aktiviti harian penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mangsa yang terselamat amat memerlukan bantuan segera dalam bentuk khemah kecemasan, makanan, ubat-ubatan, selimut, katil mudah alih, tikar, bekalan air bersih dan penjana elektrik, tambah Berton.

Selepas gempa bumi pada Sabtu, penduduk Flores berlari ke kawasan berbukit selepas melihat air laut surut, yang mungkin menjadi tanda tsunami sedang menghampiri.

Amaran tsunami kemudian ditarik balik, tetapi pihak berkuasa menggesa penduduk supaya tidak kembali ke bangunan yang rosak kerana bimbang gegaran susulan boleh menyebabkan bangunan tersebut runtuh.

Ombak setinggi 1.6 meter  dilaporkan di beberapa kawasan pantai, menurut agensi geologi Indonesia, BMKG. – AFP

 

Scroll to Top