
Zaliha berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Batu Pahat pada Sabtu.
JOHOR BAHRU – Peruntukan sebanyak RM90 juta bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sewajarnya digunakan untuk pembangunan rakyat terutama dalam suasana ekonomi geopolitik global tidak menentu.
Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, dengan jumlah penduduk Johor yang dianggarkan sekitar 4.2 juta orang, dana sebesar itu sepatutnya dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Naib Presiden PKR itu berkata, keutamaan seharusnya diberikan kepada projek pembangunan, penyediaan kemudahan awam serta program yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini.
“Wang yang digunakan untuk mengadakan pilihan raya sepatutnya boleh disalurkan kepada pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pelancaran Jentera Pakatan Harapan bagi PRN Johor di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Zaliha turut memuji komitmen pimpinan kerajaan Persekutuan yang menurutnya sentiasa berusaha memastikan hasil kekayaan negara dapat dinikmati oleh rakyat.
“Pemimpin seperti Anthony Loke dan Mohamad Sabu dan barisan Kabinet yang bekerja keras bagi melaksanakan dasar serta program yang memberi manfaat kepada masyarakat,”ujarnyam
Pada masa sama, beliau mengingatkan jentera dan penyokong PH supaya tidak mengambil mudah persiapan menghadapi PRN Johor yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya Julai ini.
Katanya, pencapaian pada pilihan raya lalu yang menyaksikan gabungan itu hampir memenangi 14 kerusi perlu dijadikan pembakar semangat untuk memperkukuhkan gerak kerja di semua peringkat.
“Sekarang masanya untuk kita bekerja lebih kuat. Kita perlu memastikan semua penyokong dan pengundi yang bersama perjuangan ini keluar mengundi apabila tiba masanya nanti,” katanya.
Beliau turut menyeru ahli dan penyokong parti supaya meminta pengundi yang berada di luar Johor termasuk mereka yang bekerja di Singapura agar pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
“Jika ada anak-anak, saudara-mara atau kenalan yang bekerja di Singapura dan di luar Johor, pastikan mereka pulang mengundi. Setiap undi amat penting dalam menentukan masa depan negeri ini,” katanya.



