Tidak semua kisah cinta mendapat peluang untuk dirakam dan dikongsi kepada khalayak, namun perjalanan kasih sayang pasangan popular Fattah Amin dan Amira Othman menjadi satu kisah istimewa yang menyentuh hati ramai.
Dari sekadar pertemuan biasa, bermula sebagai gimik muzik video ‘Bila Nak Kahwin?’ nyanyian Amira, hubungan mereka berkembang menjadi cerita penuh harapan, doa dan restu.
@xtra_my Alhamdulillah, dengan #SetulusTakdir Fattah Amin & Amira Othman bakal bernikah 14 September ini! ❤️❤️ #FattahAmin #AmiraOthman #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA
Sejak berita perkahwinan pasangan ini diumumkan sebentar tadi, peminat sudah mula menghitung hari. Bagi sebahagian pihak, majlis akad nikah Fattah dan Amira bukan sekadar penyatuan dua bintang terkenal, tetapi simbol keindahan cinta yang berlandaskan kesetiaan dan takdir.
Detik istimewa ini kian hampir dan bukan sahaja dapat diraikan secara langsung, malah perjalanan cinta mereka telah diabadikan dalam dokumentari khas yang sarat dengan emosi serta kenangan indah.

Siri dokumentari eksklusif 10 episod bertajuk Setulus Takdir: Fattah Amira mula ditayangkan pada 8 September lalu, merakamkan momen sejak perkenalan awal sehingga detik mereka bersatu sebagai pasangan suami isteri.

Kemuncaknya, majlis akad nikah mereka akan disiarkan secara langsung pada 14 September 2025, jam 8.00 malam, menerusi aplikasi Unifi TV 2.0 di saluran Inspirasi (Saluran 118).
Menurut Fattah, dia menjemput peminat untuk sama-sama meraikan hari bahagia mereka.
“Kami ingin menjemput semua untuk menyaksikan secara langsung majlis pernikahan kami, Setulus Takdir: Fattah Amira, yang akan ditayangkan secara eksklusif,” katanya.

Amira menambah, siaran itu boleh ditonton secara percuma oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Persiapan kini sedang giat dijalankan, dan kami amat berharap doa semua agar majlis ini dipermudahkan dan berjalan lancar,” katanya.
Selain liputan akad nikah, dokumentari Setulus Takdir membuka ruang buat penonton untuk mengenali sisi peribadi pasangan ini dengan lebih dekat. Ia bukan sekadar catatan perjalanan cinta, tetapi sebuah inspirasi tentang erti keikhlasan, pengorbanan dan harapan dalam membina rumah tangga.
Siaran langsung majlis pernikahan ini boleh ditonton pada Ahad, 14 September 2025, jam 8.00 malam menerusi aplikasi Unifi TV 2.0 di Saluran Inspirasi (118).




