am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura berjalan lancar dengan kerja pembinaan diteruskan di kawasan Depoh Wadi Hana.
Sebaik mendapat kebenaran memasuki depoh itu pada September tahun lalu, operator projek dipertanggungjawabkan iaitu RTS Operations Sdn Bhd (RTSO) memulakan kerja pemasangan trek landasan dan sehingga kini lebih 65 peratus kerja sudah disiapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif RTSO, Dr Ahmad Marzuki Ariffin berkata, pemasangan trek landasan itu berjalan mengikut jadual dengan meliputi kerja pemasangan pangalas landasan, landasan rel dan kerja mengikat dua komponen dengan klip pengikat.
Menurutnya, jajaran landasan yang bermula di Depoh Wadi Hana itu adalah sepanjang 5.3 kilometer yang mana ia menghubungkan terus laluan utama di Stesen Bukit Chagar, jejambat landasan dan bersambung ke Stesen Woodlands North, Singapura.
“Kami ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja membabitkan sistem rel bagi projek RTS Link ini sudah mencapai tahap kemajuan sebanyak 50 peratus.
“Kini, kita sudah memulakan kerja yang bermula di Depoh Wadi Hana dan seterusnya kami jangkakan kerja landasan dapat diteruskan sehingga ke Stesen Woodlands North di Singapura.
“Kerja pemasangan landasan sehingga ke stesen di Singapura kita jangka siap menjelang Julai nanti,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat mengenai perkembangan terkini Projek RTS Link dan lawatan tapak ke Depoh Wadi Hana di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Projek RTSO, Zahrin Abdul Gani.
Menurut Ahmad Marzuki, kerja berkaitan sistem bagi projek itu pula akan dijalankan secara berperingkat dengan kerja pemasangan komponen pembekal kuasa landasan, sistem isyarat dan komunikasi akan dimulakan bulan depan.
“Untuk kerja-kerja sistem, ia perlukan masa sehingga tahun depan dan dijalankan secara berperingkat,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kadar tambang bagi kemudahan pengangkutan itu belum diputuskan.
Katanya, perbincangan perlu dibuat oleh kedua-dua negara termasuk mengambil kira mengenai kadar pertukaran mata wang sebelum memutuskan kadar tambang yang hendak ditetapkan.
“Soal tambang, sudah pasti sebelum pengoperasian bermula ia akan diumumkan. Banyak persetujuan perlu diambil kira sebelum tentukan kadar tambang. Jadi, ia bergantung kepada perbincangan kedua-dua kerajaan,” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




