Run The Voo harumkan nama Malaysia, juara hip hop di Singapura

Run The Voo harumkan nama Malaysia, juara hip hop di Singapura

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan tarian, Run The Voo (RTV) mengharumkan nama negara apabila muncul juara pertandingan hip-hop, Lion City Dance Convention Singapore, kategori junior di Singapura, hari ini.

Ahli kumpulan RTV, Kyra Natasya Cairil Irwan, 14, berkata, kumpulan itu yang mempunyai tujuh ahli dari pelbagai sekolah sekitar Lembah Klang berjaya menewaskan 19 lagi kumpulan dari Singapura dan Indonesia.

Menurutnya, kejayaan itu amat bermakna kerana berjaya membaiki mutu persembahan berbanding ketika memenangi tempat kedua dalam pertandingan sama, tahun lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya itu berkata, kumpulannya tampil dengan konsep yang lebih ceria berteraskan persahabatan bagi pertandingan kali ini berbanding persembahan sebelum ini.

“Kami memilih konsep yang lebih menggambarkan hubungan persahabatan dalam kumpulan dan bagaimana kami berkembang bersama sebagai satu pasukan.

“Tahun lalu kami mendapat tempat kedua, jadi kemenangan kali ini sangat bermakna kerana usaha kami akhirnya membuahkan hasil.

“Pertandingan ini juga menjadi penampilan terakhir kami dalam kategori junior sebelum memberi tumpuan kepada kategori terbuka pada tahun depan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Kyra berkata, mereka mula menjalani latihan intensif bagi rutin pertandingan itu sejak April lalu, manakala latihan bagi meningkatkan kemahiran individu dan berkumpulan sudah dilakukan sebaik selesai pertandingan tahun lalu.

Sementara itu, ibu kepada Kyra, Faten Akmar Mohd Izhar, 49, berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen tinggi bukan sahaja daripada peserta, malah ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan sepanjang tempoh persiapan.

Katanya, semua kos penyertaan ke pertandingan itu ditanggung ibu bapa, termasuk yuran latihan bersama dua jurulatih dari Malaysia, selain perbelanjaan perjalanan dan keperluan pertandingan.

“Tiada jalan pintas untuk menang. Anak-anak ini masih bawah umur, jadi setiap kali latihan dan pertandingan ibu bapa akan bersama mereka.

“Ada yang menguruskan solekan, rambut dan pakaian. Semua ibu bapa ada tugasan masing-masing.

“Kami sama-sama bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan anak-anak dapat memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan itu menjadi hadiah paling bermakna selepas segala pengorbanan masa, tenaga dan kewangan yang dicurahkan sepanjang beberapa bulan persiapan akhirnya membuahkan hasil.

Dalam pertandingan itu, RTV membawa pulang trofi serta wang tunai berjumlah SGD1,500 (kira-kira RM4,778).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top