Seremban: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perbincangan mengenai pembentukan kerajaan baharu di Negeri Sembilan, selepas kejayaan mencapai majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, hari ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat.
“Persefahaman yang terjalin antara BN dan PN demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan akan diterjemahkan melalui pembentukan sebuah kerajaan negeri yang stabil serta berpaksikan mandat rakyat.
“Secara tidak rasmi, setakat ini BN memperoleh 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi.
“Ini bermakna BN dan PN melepasi majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di Wisma UMNO negeri di sini, malam ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Selain itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid, berkata kedua-dua gabungan itu menyedari mandat yang diberikan rakyat hari ini, datang bersama tanggungjawab besar, iaitu membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil, berwibawa dan benar-benar bekerja demi menyelesaikan masalah rakyat serta meningkatkan kemakmuran negeri.
“Justeru, tugas kami bermula pada malam ini. Setiap aku janji dalam manifesto, insya Allah, akan kami lunaskan demi kepentingan rakyat dan Negeri Sembilan.
“Manifesto ini adalah janji kami kepada rakyat dan akan menjadi panduan utama pentadbiran negeri,” katanya.
Susulan kejayaan itu, Ahmad Zahid, berkata BN dan PN akan meneruskan persefahaman yang dijalin sejak PRN Johor itu pada PRN Melaka, kelak.
“Mandat dan keputusan ini akan turut membawa satu gelombang untuk kami meneruskan gelombang biru dan biru pekat yang sudah bermula di Johor.
“Insya-Allah, ia akan terus menular ke Melaka,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid, berkata sokongan daripada rakyat pelbagai kaum, latar belakang dan lapisan masyarakat, termasuk warga keselamatan, membawa mesej yang jelas bahawa rakyat mahukan kestabilan.
Justeru, pihaknya percaya ia adalah makna sebenar perpaduan yang dirindui rakyat Negeri Sembilan dan rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Bagaimanapun, kejayaan ini tidak boleh menjadikan kita leka dan angkuh.
“Gelombang ini hanya akan terus berkembang jika kita membalas keyakinan rakyat dengan prestasi, hasil dan perubahan yang benar-benar dapat dirasai seluruh rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




