Kuala Lumpur: Penggempur berpengalaman, Safee Sali dan bekas pemain sayap Kedah, Hadin Azman bakal memperkasakan pasukan Kuala Lumpur United FC (KLUFC) bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Kedatangan dua pemain itu mampu menjadi aset penting kepada pasukan samaada di dalam ataupun luar padang menurut Ketua Pegawai Eksekutif Interim KLUFC, Stanley Bernard.
“Safee memiliki kehebatan dan nilai komersial yang tinggi. Dia akan menjadi aset Kuala Lumpur sama ada di dalam padang atau di luar. Dia antara penyerang terbaik dekad ini”, kata Stanley dalam sidang akhbar hari ini.
“Hadin pula mencapai kemuncak prestasi ketika bersama Felda United pada 2018. Kalau dia berjaya mengulangi prestasi tersebut, kita ada satu lagi aset penting untuk bersaing dalam Liga Super”, katanya lagi.
Safee yang bakal mencecah umur 37 tahun musim depan mengakui teruja kerana kembali semula ke pangkuan pasukan yang pernah ditinggalkan 15 tahun lalu.
“Saya bangga berada di stadium ini. Kuala Lumpur memiliki sejarah yang besar dan saya harap untuk tahun depan saya akan cuba membantu Kuala Lumpur menjadi pencabar kepada pasukan lain dalam Liga Super”, katanya yang menandatangani kontrak selama setahun bersama KLUFC.
Sumber: UM
Akmal Hakim
Sports Desk



