zaky@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Flexidynamic Holdings Bhd (Flexidynamic) memulakan dagangan sulung yang kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan mencatat premium 49 sen atau 245 peratus berbanding harga rujukan tawaran awam permulaan (IPO) 20 sen sesaham.
Saham kumpulan yang terbabit dalam reka bentuk, kejuruteraan, pemasangan dan pengoperasian sistem klorinasi sarung tangan, dibuka pada harga 69 sen dengan 12.36 juta saham bertukar tangan.
Mengulas mengenainya, Pengarah Urusan Flexidynamic, Tan Kong Leong, berkata prestasi harga pembukaan saham syarikat yang turut terbabit dalam mereka bentuk serta pemasangan tangki penyimpanan dan pemprosesan industri sarung tangan mencerminkan tahap keyakinan pelabur kepada firma terbabit.
“Kami telah melihat aktiviti pembuatan sarung tangan getah berkembang dengan ketara di seluruh dunia semasa pandemik COVID-19.
“Peningkatan permintaan ini telah menyebabkan kapasiti pengeluaran hampir penuh di antara pengilang ini. Kami percaya bahawa Flexidynamic dapat memanfaatkan peningkatan aktiviti ini, yang akan memberi manfaat kepada kumpulan dalam jangka masa panjang,” katanya pada sidang media maya selepas penyenaraian saham Flexidynamic, hari ini.
Yang turut serta, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Flexidynamic, Phang Sze Fui; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Flexidynamic, Noor Zaliza Yati Yahya; dan Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities Sdn Bhd, Datuk Bill Tan.
IPO Flexidynamic memperuntukkan 14.195 juta saham baharu kepada orang awam dengan ia terlebih langgan 155.72 kali.
Menerusi penyenaraian Flexidynamic, syarikat itu dijangka meraih RM15.05 juta dengan RM6.38 juta akan digunakan untuk membayar pinjaman bank yang diambil untuk membiayai pemerolehan kilang baharu.
Sejumlah RM420,000 lagi akan digunakan untuk mengubahsuai kilangnya, sementara RM1.63 juta diperuntukkan untuk membeli mesin dan peralatan.
Dari jumlah dana yang diraih juga, Flexidynamic memperuntukkan RM3.62 juta untuk modal kerja, dengan RM3 juta lagi akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.
M&A Securities adalah penasihat utama, ejen penempatan tunggal, penaja jamin tunggal dan penaja IPO Flexidynamic.
Mengulas mengenai pelan pengembangan operasi, Kong Leong berkata rancangan peluasan perniagaan Flexidynamic merangkumi pembinaan dua kilang baharu yang dijangka siap pada Mei ini dan operasinya dijangka bermula suku ketiga tahun ini.
Katanya, kedua-dua kilang itu dijangka menggunakan mesin dan peralatan baharu untuk melaksanakan aktiviti pembuatan dalaman serta komponen bagi sistem klorinasi sarung tangan.
“Kami telah menempuh perjalanan jauh bermula dari kami menyewa kilang di Banting untuk melaksanakan aktiviti reka bentuk, kejuruteraan, pemasangan, dan pengoperasian sistem klorinasi sarung tangan sehingga apa yang dinikmati kami kini.
“Kini kami menyediakan sistem klorinasi sarung tangan secara on-line dan off-line membabitkan pangkalan data pelanggan yang luas bukan sahaja dari Malaysia, tetapi Vietnam, Thailand, Indonesia, dan Sri Lanka,” katanya.
Beliau menjelaskan, penyenaraian Flexidynamic membantu memperkukuhkan profil syarikat sebagai antara peserta terkemuka dalam industri pembuatan sarung tangan.
“Ia menandakan fasa baharu kepada baki dan Flexidynamic percaya, kami dapat meningkatkan pertumbuhan lebih tinggi.
“Buat masa ini, kami tidak bercadang beralih kepada Pasaran Utama, tetapi memberi tumpuan kepada strategi pertumbuhan semasa perniagaan Flexidynamic,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




